Wednesday, July 01, 2009

Tragedi di Bilik Asrama

JOHOR BAHRU: Sedih dan menyayat hati! Itu nasib malang seorang bekas pelajar wanita berusia 26 tahun yang ditemui mati dipercayai akibat pendarahan serius selepas melahirkan anak dalam keadaan serba kekurangan di sebuah bilik asrama di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai dekat sini, petang kelmarin.Lebih malang lagi, bekas pelajar tahun empat itu dipercayai menderita keseorangan ketika melahirkan anak dan hanya ditemui kira-kira jam 5 petang, selepas lebih dua hari Allahyarham menghembuskan nafas terakhir.Kejadian disedari ketika minggu orientasi pelajar baru berlangsung apabila beberapa pelajar mengadu kepada ahli jawatankuasa (AJK) minggu orientasi ada sebuah bilik asrama berbau busuk.Berikutan itu seorang daripada AJK minggu orientasi memeriksa bilik berkenaan yang berkunci dari dalam itu.AJK terbabit membuat aduan kepada pengetua kolej kediaman sebelum pengawal keselamatan diarah menyiasat.Sebaik pintu dibuka, pengawal keselamatan terbabit terkejut melihat sekujur tubuh tanpa seurat benang terbaring kaku dengan percikan darah di lantai. Lebih mengejutkan, penemuan bayi lelaki yang sudah tidak bernyawa tidak jauh dari mayat wanita itu.Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan mayat wanita berkenaan sebelum bergegas ke tempat kejadian.“Berdasarkan siasatan, mangsa berasal dari Kelantan dan belum berkahwin. Dia disahkan meninggal dunia sekurang-kurangnya dua hari sebelum ditemui.“Kami percaya besar kemungkinan kematian mangsa berpunca daripada pendarahan serius selepas bersalin.“Namun, kita tetap meneruskan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa dan melihat sama ada wujud kemungkinan ada unsur jenayah,” katanya.Ruslan berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan pasangan wanita terbabit pelajar di kampus sama.“Buat masa ini kami dalam proses mengenal pasti pasangan wanita berkenaan bagi membantu siasatan, manakala mangsa sudah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat.“Sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi polis Johor di talian 07-2212999 atau tampil ke balai polis untuk membantu siasatan,” katanya.Sementara itu, Penolong Pendaftar Perhubungan Media UTM, Sabri Ahmad, ketika dihubungi memberitahu mangsa sudah ditamatkan pengajiannya pada Januari lalu selepas gagal pada peperiksaan akhir Semester 1 sesi 2008/2009.Menurutnya, bilik berkenaan disewa wanita terbabit sejak 11 Mei lalu kerana polisi UTM membenarkan orang luar menyewa bilik asrama ketika cuti semester.Ditanya tindakan seterusnya berhubung kes itu, Sabri berkata, pihak kampus tidak dapat menangani kes berkenaan seperti kes biasa membabitkan pelajar memandangkan mangsa tidak lagi berstatus pelajar selepas ditamatkan pengajiannya.“Bagaimanapun, kita akan berusaha membantu pihak berkenaan berhubung urusan berkaitan dengan kejadian ini,” katanya.Berhubung dakwaan kemungkinan teman lelaki mangsa pelajar UTM, Sabri berkata, pihaknya tidak dapat mengesahkan perkara itu kerana buat masa ini belum ada maklumat mengenainya.
*Berita penuh sila layari: Harian Metro NEWS
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090701011011/Article/index_html

No comments: