Wednesday, August 12, 2009

Bersediakan wanita hadapi suami curang?

Pakar psikologi perkahwinan berpendapat isteri perlu buat kajian jika pasangan cari teman baru. Segala-galanya sudah diberikan. Kasih sayang, makan minum terjaga, perhatian dan tanggungjawab sebagai isteri tidak pernah diabaikan. Pucuk pangkal, suamilah segala-galanya. Demam dan letih ditolak ketepi semata-mata ingin memberi sepenuh kasih sayang buat suami tercinta. Namun, apa yang dibalasnya pada anda? Dia mempunyai wanita simpanan! Adakah anda bersedia menerima perkhabaran kecurangan suami anda?

Tentu pelbagai taksiran menerjah di kotak fikiran. Ya, mungkin kebanyakan wanita yang mengalami permasalahan sebegitu akan berasa diri teraniaya diperlakukan sedemikian rupa.

Kecurangan suami sentiasa berlegar malah mengisi setiap minit kecurangan suami bermain di benak fikiran. Pengorbanan yang dilakukan selama ini dirasakan hanyalah sia-sia.

Dalam kejadian 19 Februari lalu umpamanya, seorang suri rumah yang dikatakan hilang pertimbangan selepas mengesyaki suaminya bermain kayu tiga bertindak di luar batasan apabila membunuh dua anak lelakinya di Taman Indah, Batu Maung, Georgetown.

Wanita itu juga dipercayai menjerut mati anaknya dikenali sebagai Muhammad Alif Hakimi, enam tahun, dan Muhammad Alif Hazemi, 17 bulan, dengan wayar seterika.

Kesnya masih dalam perbicaraan pihak berkuasa.

Dalam satu kejadian berasingan minggu lalu, gara-gara cemburukan suami yang didakwa mempunyai hubungan sulit dengan seorang wanita lain, Woon Suik Ling, 25, mengambil tindakan nekad terjun dari tingkat lapan kondominium di Jinjang, Selangor.

Malah, dua hari sebelum mengambil tindakan nekad itu, mangsa dipercayai cuba membunuh diri dengan mengelar tangan dan memakan pil. Namun, tindakannya itu berjaya dihalang keluarganya.

Kejadian sebegini menunjukkan betapa sikap curang itu membawa padah dan boleh mengundang bahaya.

Perunding Klinikal Psikologi Perkahwinan dan Terapi Seksologi Keluarga, Datuk Dr Mat Saat Baki, berkata kecurangan mempunyai definisi yang cukup besar khususnya dalam hubungan suami isteri.

“Banyak faktor yang tidak diketahui mengapa lelaki curang. Kita mesti mengkaji mengapa suami bertindak sedemikian (curang). Malah, mungkin juga bagi lelaki dia tidak melihat perbuatannya itu sebagai suatu kecurangan sedangkan wanita pula sangat menitikberatkan soal kepercayaan.

“Tetapi, dalam hal ini jika hubungan itu berkaitan dengan ikatan perhubungan yang tidak sah, hukumnya tetap zina,” katanya.

Mungkin lelaki bernama suami mempunyai alasan tersendiri kerana menduakan wanita. Faktor keseronokan dan sifat tidak cukup hanya satu membuatkan sesetengah lelaki mula memasang wanita simpanan.

Faktor sentiasa tidak berpuas hati membuatkan sesetengah lelaki bertindak mudah dengan mencari teman wanita. Malah, ada antara mereka tidak langsung memikirkan risiko perbuatan curang itu semata-mata atas tiket keseronokan.

Apatah lagi bila mengenangkan isteri di rumah sudah tidak secantik dan sewangi dulu. Siapakah yang harus dipersalahkan?

Realitinya, sememangnya ramai wanita yang sudah mendirikan rumah tangga tertinggal suatu amalan yang mereka sentiasa pentingkan ketika masih bergelar anak dara.

Lebih-lebih lagi bila sudah bergelar ibu dengan beberapa orang cahaya mata, mulalah mengabaikan tabiat berdandan hingga lupa akan penjagaan kecantikan.

Paras rupa mulai kusam, kulit kering dan potongan badan tidak mengancam seperti zaman anak dara. Nampak seakan enteng, tetapi itu semua begitu penting di mata suami.

Dr Mat Saat berkata, perubahan itu sedikit sebanyak membuatkan suami memberi alasan untuk ‘makan luar’ oleh kerana isteri mulai mengabaikan penjagaan diri.

“Berdasarkan kajian yang dibuat mendapati ada 88 faktor kecurangan dalam perhubungan. Kita juga perlu tahu sebab apa kecurangan itu berlaku,” katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan suami berlaku curang mungkin sebagai alasan untuk berpisah dengan pasangannya atau sekadar inginkan keseronokan.

Katanya, jika hubungan kekeluargaan ingin diselamatkan, biasanya pasangan suami isteri akan diberikan kaunseling untuk memulihkan semula hubungan, seterusnya mencari penyelesaian terbaik untuk menyelamatkan ikatan perkahwinan.

“Namun, kita juga perlu mengambil kira sebab apa tindakan suami untuk berlaku curang. Adakah dia ingin kembali semula kepada isteri atau ingin bercerai untuk bersama dengan pasangan barunya. Begitu juga dengan isteri, adakah dia bersedia untuk menerima kembali, seterusnya memaafkan perbuatan suami,” katanya.

Ditanya panduan mengekalkan hubungan suami isteri, Dr Mat Saat berkata, banyak cara untuk pasangan suami isteri beroleh kebahagiaan selain saling mempercayai.

Katanya, penting sekali untuk mereka mengukuhkan ikatan kasih sayang sambil saling mengambil berat perihal pasangan masing-masing bagi memastikan kerukunan rumah tangga.


Lima Faktor Perubahan Suami

1 – Menjadi panas baran

- Jika sebelum ini, suami sentiasa berkata dengan lemah lembut tetapi secara tiba-tiba mulai bengis dan sering marah-marah. Malah, isteri dimarahi dengan menjadikan alasan sikap isteri membebel memeningkannya padahal sebelum ini suami tidak bersikap demikian.

2 – Tiba-tiba menjadi sibuk

- Perubahan ketara suami yang sentiasa bertugas di luar dengan pelbagai alasan. Malah, dalam keadaan tertentu, suami hanya menyatakan dia sibuk menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) tanpa mahu bertemu dengan anda.

3 – Sering berahsia

- Segalanya tidak mahu dikongsi bersama. Baik hal di pejabat dan kisah peribadi. Tambah mencurigakan, suami sering ‘lari’ sebaik menerima khidmat pesanan ringkas (SMS). Bila telefon berbunyi pula, suami menjawab di tempat jauh dan berbisik-bisik. Siapa yang menelefon, teman lelaki kata suami! Boleh percaya ke?

4 – Semakin bergaya

- Penampilan suami yang dulunya biasa-biasa bertukar dengan drastik. Rambut baru, pakaian baru dan siap dengan minyak wangi mengalahkan zaman bujang. Penting bagi isteri menyelidiki suami mereka yang bersikap sedemikian!

5 – Menjadi bertambah penyayang

- Memang pelik. Jika sebelum ini hendak mendapat peluk manja bukan main payah tetapi sikap suami agak keterlaluan berbanding kebiasaan. Malah, dia juga sering memeranjatkan anda dengan pelbagai hadiah untuk mengaburi mata anda.

Berhati-hatila wahai isteri... tapi jangan cemburu buta, sudahla...
[sources: http//.intim.wordpress.com]

No comments: