Kalau ditanyakan kepada orang tua, bilakah masanya dalam takah
kehidupan ini mereka rasakan terlalu banyak melakukan kesalahan dan
kesilapan?
Nescaya mereka menjawab, "semasa kami masih muda." Ya, bila seorang
tua menoleh ke belakang, terasa begitu banyak perkara yang sepatutnya
dibuat semasa muda, tidak dibuat. Sebaliknya banyak pula perkara yang
tidak sepatut dibuat, telah dibuat.
Sayangnya, kebanyakan orang muda tidak menyedari hakikat ini
sehinggalah mereka sendiri meningkat tua. Lalu atas kealpaan itu mereka
akan mengulangi kesalahan yang pernah dilakukan oleh bapa, datuk dan
moyang mereka pada zaman mudanya.
Pendek kata, ramai manusia lambat belajar di 'universiti kehidupan'
ini. 'Kurikulum' pelajaran yang sepatutnya telah difahami di peringkat
muda baru difahaminya hanya apabila kita meningkat tua.
Alam adalah sebuah 'universiti' yang luas dan besar. Setiap manusia
adalah para pelajarnya. Dan manusia terpaksa belajar berterusan. Hidup
adalah satu siri pelajaran yang tersusun rapi untuk difahami dan
dihayati sepanjang hayat. Mungkin ini juga termasuk dalam maksud
"tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad."
Jika difahami, pelajaran-pelajaran ini akan memberi panduan dan suluh
kehidupan untuk hidup yang lebih tenang dan bahagia. Tetapi sekiranya
pelajaran ini gagal difahami, maka hidup akan huru-hara dan kita akan
selalu menghadapi keadaan yang tidak menentu.
Kurikulum pelajaran ini
pula tersusun mengikut tahap usia dan tempoh kedewasaan seseorang.
Justeru, di peringkat muda ada 'pelajaran-pelajaran' tertentu yang perlu
difahami benar-benar sebelum menghadapi usia dewasa yang jauh lebih
mencabar. Apakah 'pelajaran-pelajaran' itu dan apakah cara
sebaik-baiknya mempelajarinya?
Itulah salah satu persoalan penting yang mesti dijawab oleh setiap
kita. Jangan sampai pelajaran yang sepatutnya 'selesai' pada usia muda
terpaksa dibawa ke peringkat tua. Kalau begitu keadaannya maka rugilah.
Samalah seperti pelajar universiti yang terpaksa 'refer' atau 'repeat'
akibat gagal dalam peperiksaan semester atau tahunan mereka.
Para remaja adalah kelompok manusia yang sedang melalui satu proses
transisi. Mereka telah meninggalkan alam kanak-kanak tetapi belum
mencapai alam dewasa. Tahap transisi ini tidak stabil. Umpama air
(cecair) yang hendak bertukar menjadi wap (gas), maka molekul-molekulnya
terlebih dahulu bergerak dengan cepat dan tidak menentu.
Keadaan itu samalah dengan remaja, pada tahap itu jiwa, akal, nafsu,
emosi dan lain-lain elemen-elemen dalaman mereka sedang bergolak. Takah
usia ini paling tidak stabil – tercari-cari identiti diri, krisis
pemikiran, ingin mencuba, perubahan biologi dan macam-macam lagi.
Dan di tahap ini juga para remaja akan menemui pelbagai situasi dan
kondisi – suka dan duka, kejayaan dan kegagalan, permusuhan dan
kasih-sayang, sempadan dan teladan. Muncul pelbagai individu dalam hidup
mereka dengan pelbagai kelakuan dan sikap. Terjadi bermacam-macam
peristiwa dengan membawa pelbagai kesan.
Sesungguhnya semua itu tidak berlaku sia-sia melainkan ada
'pelajaran' yang dibawanya untuk difahami dan dihayati. Para remaja
(malah orang tua sekalipun) mesti dapat membaca 'mesej' yang dibawa oleh
setiap peristiwa, individu dan keadaan yang berlaku ke atas kita. Jika
tidak, kita terpaksa mengulangi pelajaran itu berkali-kali.
Sebab itulah dalam pengalaman kita, sering kita temui orang tertentu
yang sentiasa berdepan dengan masalah yang sama. Abu misalnya, akan
sentiasa 'pokai' setiap pertengahan bulan dan sentiasa merungut duitnya
tidak cukup. Minah, sudah lima kali ditinggalkan kekasih dan mengeluh
tidak ada lelaki yang benar-benar memahami perasaannya. Joe pula, telah
tujuh kali jatuh motor dan marah-marah tentang nasib malang yang sedang
menimpanya.
Anehnya mengapa Mat tidak mengalami masalah 'pokai' seperti yang
selalui dialami Abu. Bedah tidak seperti Minah, dia telah pun bertunang
dengan lelaki yang pertama dikenalinya? Manakala Samad, cuma sekali
sahaja jatuh motor dalam hidupnya dan sekarang sedang selesa memandu
Perodua yang baru dibelinya... Apakah yang menyebabkan keadaan atau
nasib mereka berbeza?
Bezanya ialah ada diantara para kita yang cepat belajar dengan hidup
sebaliknya ada di antara mereka yang tidak pernah atau lambat belajar.
Yang belajar, akan 'naik kelas' dan layak untuk mengambil mata pelajaran
baru yang lebih tingkat dan martabatnya. Yang tidak belajar, terpaksa
mengambil mata pelajaran yang sama berkali-kali.
Abu, contoh kita tadi, tidak pernah belajar bagaimana mengurangkan
perbelanjaan berbanding pendapatan... dan dia akan mengalami masalah
yang sama walaupun kiranya nanti ia menjawat jawatan yang tinggi dan
bergaji besar. Manakala Minah, tidak cuba mengenali kelemahan dirinya
sendiri sebagai seorang wanita justeru dia sering menemui lelaki yang
tidak sepatutnya dia temui.
Jadi langkah pertama supaya kita 'lulus' dalam pelajaran hidup ialah
kita perlu akur bahawa setiap yang berlaku di dalam kehidupan ada unsur
pengajaran dan didikan buat kita. Setiap peristiwa, pahit atau manis,
setiap individu, baik atau buruk – hakikatnya adalah 'guru' yang
mengajar kita. Dan setiap guru itu mengajar sesuatu yang baik, walaupun
kadangkala kelihatan pahit, pedih dan sakit kita menerimanya.
Untuk itu, apabila ditimpa sesuatu musibah atau menerima sesuatu
nikmat, hendaklah ditanyakan pada diri sendiri, "apakah pelajaran yang
di sebalik semua ini?" Pandanglah semua yang berlaku ke atas kita ada
tujuan yang tertentu, maka barulah hidup kita sentiasa bertujuan. Kata
ahli-ahli sufi, setiap yang berlaku dalam hidup ialah 'mehnah' –
maksudnya didikan terus dari Allah.
Mereka berpendapat bahawa apa sahaja yang berlaku dalam hidup adalah
ujian dan ujian itu hakikatnya adalah didikan terus daripada Allah. Ahli
sufi menambah lagi bahawa jika manusia tidak mampu dididik melalui
didikan terus dari Allah (mehnah) maka manusia tersebut tidak akan dapat
dididik lagi oleh sesiapaun. Inilah yang ditegaskan oleh Ibnu
Attoillah, seorang sufi yang terkenal dalam buku-buku karangannya.
Jika seorang datang membuat kita marah, maka dia adalah 'guru' yang
hendak mengajar kita erti sabar. Jika kita selalu 'kesempitan' wang maka
itu tandanya kita harus bersedia belajar erti berjimat cermat. Jika
kita rasa kita sedang dikecewakan, itu menunjukkan kita sedang belajar
untuk membina sikap tidak terlalu mengharap.
Begitulah seterusnya dalam apa jua situasi dan masa, kita hakikatnya
sedang belajar dan dididik. Memang pada lahirnya, manusia, peristiwa dan
kejadian yang sedang bertindak ke atas kita tetapi sedarilah hakikatnya
semua itu adalah datang dari Allah. Semuanya berlaku dengan izin Allah,
yang dengan itu DIA hendak mendidik kita. Maka terimalah didikan itu
dengan baik kerana tujuanNya mendidik pun pasti baik.
Apakah sebenarnya yang menjadi 'tujuan' di sebalik
'pelajaran-pelajaran' yang datang dan pergi dalam hidup kita? Tujuan
utama pelajaran dalam hidup ini adalah untuk mengubah kita ke arah yang
lebih. Perubahan tidak dapat dielakkan justeru hidup ini sendiri
adalah satu proses perubahan yang berterusan.
Sudah menjadi sunatullah (peraturan Allah) yang tidak berubah dalam
hidup ini adalah perubahan itu sendiri. Perubahan sentiasa berlaku dan
ia diluar kawalan manusia. Kita akan kalah jika kita tidak berubah.
Jadi, berubahlah mengikut haluan dan kawalan kita sendiri. Jika tidak,
kita juga terpaksa berbuah, mengikut kawalan orang lain atau keadaan
sekeliling.
Manusia umpama nakhoda yang belayar di lautan. Sebagai nakhoda kita
punya arah dan destinasi tersendiri. Tetapi tiupan angin, pukulan
gelombang dan cuaca tidak selalunya menyebelahi kita. Kekadang arah
pelayaran kita ke utara tetapi angin bertiup ke selatan. Kita akan
tersasar dari destinasi jika menurut sahaja tiupan angin.
Sebaliknya kita akan patah, jika terus berkeras menentang tiupannya.
Jadi, apakah kita menjadi 'Pak Turut' yang terpesong tanpa prinsip dan
haluan? Atau bersikap keras, rigid dan akhirnya patah kerana kedegilan
melawan gelombang?
Sehubungan itu, bijak pandai pernah berkata, "we can't direct the
wind but we can adjust our sail." Ertinya, walaupun kita tidak boleh
menentukan takdir yang menimpa tetapi kita diberi kuasa oleh-Nya untuk
mentadbir diri kita. Inilah kelebihan manusia, sebagai khalifah.
Kita diamanahkan untuk mentadbir pendengaran, sentuhan, penglihatan,
penciuman, penglihatan, fikiran, emosi, hati dan tindakan kita dalam
lingkungan takdir-Nya. Oleh itu, dengan segala kuasa dan kelebihan yang
ada, kita perlu berubah mengikut arah dan bentuk yang kita pilih dengan
izin Allah jua.
Malangnya, ramai manusia yang tidak suka berubah. Ada kita bersikap
'selamba' dan 'relaks' dengan apa sahaja yang berlaku termasuk perubahan
yang berlaku pada diri dan sekeliling mereka. Mengapa? Sebab perubahan
ertinya hijrah atau berpindah. Setiap hijrah dan berpindah itu menagih
kesusahan. Maksudnya, orang yang berhijrah terpaksa meninggalkan zon
keselesaan (comfort zone) untuk menuju zon cabaran (courage zone).
Misalnya, anak kecil yang hendak berpindah dari tahap merangkak ke
tahap berjalan, tentu terpaksa bertatih-tatih, jatuh bangun, jatuh dan
terpaksa mengalami calar-calar dan sebagainya. Namun segala-galanya
terpaksa dihadapi demi membolehkan dia berjalan. Apa akan jadi kalau ada
anak kecil yang terus selesa merangkak dan tidak mahu belajar berjalan
kerana takut cabaran? Tentulah tidak ada perkembangan dalam hidup. Maka
begitulah para kita, dengan ujian mereka dituntut supaya berubah, jika
tidak mereka tidak akan mencapai tahap kematangan untuk berjaya dalam
hidup!
Rengkasnya, pelajaran dalam hidup datang bersama tuntutan perubahan.
Jika sudah berkali-kali pelajaran disampaikan, tetapi masih tidak ada
perubahan, maka itu bermakna kita gagal dalam peperikasaan di universiti
kehidupan kita. Apa yang menghalang kita berubah?
Salah satunya ialah keinginan untuk melihat orang lain, keadaan atau
peristiwa di luar diri kita terlebih dahulu berubah. "Aku boleh jadi
baik, jika guru dan ibu-bapaku melayanku dengan baik," begitu selalu
yang kita dengar. "Kedudukan kewanganku boleh stabil, jika pendapatanku
bertambah," kata sesetengah yang lain. "Jikalau aku mengenali seorang
lelaki yang beriman, aku akan menjadi isteri yang solehah." "Kalau
motorku dari jenis yang mahal, tentu aku tidak terlibat dengan accident
lagi!"
Begitulah suara-suara kelohan dan harapan yang selalu diluahkan oleh
hati kita. Semuanya, mengharapkan keadaan, individu lain dan peristiwa
berubah – barulah kita mahu dan mampu berubah. Sedangkan hukum perubahan
tidaklah begitu. Kita mesti berubah dulu, barulah keadaan, peristiwa
dan individu lain berubah akibat perubahan kita.
Guru dan ibu-bapa akan melayan kita dengan baik, jika kita terlebih
dahulu berusaha menjadi anak atau murid yang baik. Anda berjimat cermat
dahulu, barulah kedudukan kewangan anda akan stabil. Anda jadi wanita
solehah dahulu, barulah akan ada lelaki beriman yang akan melamar anda.
Dan anda perlu baiki dan memandu motor 'buruk' anda dengan baik barulah
anda tidak terlibat dengan 'accident' dan akhirnya layak untuk mendapat
motor baru yang mahal harganya!
Ingat, setiap kali sesuatu menimpa kita, sama ada baik atau buruk...
itu adalah pelajaran yang menuntut perubahan. Maka ubahlah diri kita
selalu, ke arah yang baik, lebih baik dan cemerlang. Setiap detik,
setiap ketika, ada sahaja peristiwa yang akan kita hadapi... maka
belajarlah secara berterusan, dan berubahlah secara berterusan... Nanti
kita akan mencapai kebaikan secara berterusan pula.
Jangan sekali-kali menangguhkan pelajaran, nanti anda akan
menangguhkan perubahan dan akhirnya menangguhkan datangnya kebaikan.
Belajarlah di universiti kehidupan semasa masih ada masa lagi, supaya
kita tidak diburu penyesalan apabila tempoh pengajian tamat (mati).
Kata pepatah, "belajar sewaktu muda bagai melukis di atas batu,
belajar sewaktu tua bagai melukis di atas air." Teringat kata Dale
Carnargie, "jangan gergaji abuk kayu!" Dan itulah nasib orang tua yang
tidak belajar semasa mudanya!
Buat diri ku dan diri mu, kuaklah tirai hari ini dan ingatkan diri...
aku adalah pelajar di universiti kehidupan ini. Hari ini Allah pasti
mengajar ku melalui perlakuan-perlakuan manusia lain kepada ku. Dan aku
mesti belajar dengan orang lain, kejadian, peristiwa itu – pahit atau
manis.
Jika manis, Allah mengajarku erti syukur. Jika pahit, Allah mengajar
ku erti sabar. Jika dikecewakan, aku sedang belajar hakikat tawakal.
Bila cemas, Allah mengajar ku erti raja' (mengharap). Jika sedikit,
Allah mengajar ku erti qanaah (berpada-pada). Ya Allah, lepaskan hati
kami dari asbab-asbab ini, agar kami bebas dan tenang berpaut pada
'musabbabil asbab' (Penyebab segala sebab) – wajah MU ya Allah.
Pujuklah hati, katakan, didikan ini demi cinta-Nya jua.
[Sumber: Ustaz Pahrol Muhamad Juoi, Artikel iluvislam.com]
No comments:
Post a Comment