Untuk mengekalkan cinta perlu ada sikap
positif. Tanpa sikap yang positif, cinta akan terbarai dan kebahagiaan
akan berkecai. Berikut adalah beberapa langkah praktikal untuk membina
pemikiran yang positif seterusnya membentuk sikap yang positif:
i) Fokus pada tanggung jawab, bukan menuntut hak.
Punca hati tidak tenang dan hilang
kebahagiaan dalam hidup kebanyakannya manusia ialah perjuangannya untuk
mendapatkan hak. Manusia sering marah dan mengeluh dengan berkata, “aku
sepatutnya tidak dilayan begini.” Dalam kebanyakan situasi, kita sering
tidak mendapat apa yang kita jangkakan dan harapkan. Betul bukan? Selagi
kita hidup kita akan alami pelbagai situasi yang mana susu yang kita
berikan tetapi tuba kita terima sebagai balasannya.
Di dalam rumah tangga jangan mengharapkan
kesempurnaan pada pasangan kita. Bunga yang kita berikan, jangan
mengharap bunga sebagai balasannya. Tetapi apakah kerana tidak mendapat
balasan lalu kita berhenti menghulurkan kebaikan? Jangan! Fokus pada
tanggung jawab – sebagai suami atau isteri kita dituntut oleh syariat
untuk melaksanakan tanggung jawab. Tunaikan hak pasangan kita itu lebih
utama daripada kita menuntut hak kita. Ah, apakah ini bererti kita akan
terus menjadi mangsa?
Jawabnya, tidak. Kita akan lebih tenang,
percayalah. Adalah tidak bijak untuk terus membuang masa dan tenaga
memikirkan tentang apa yang sepatutnya berlaku berbanding apa yang perlu
dan patut kita lakukan? Ramai orang terseksa dengan kekecewaan dan
geramkan pasangannya yang sepatutnya berbuat begini atau begitu… Pada
hal, pemikiran yang negatif itu akan memburukkan lagi keadaan. Yang
penting fokus kepada apa yang aku boleh lakukan untuk melaksanakan
tanggung jawab ku.
Katalah dalam satu pertelingkahan dan
kita berada di pihak yang betul dan benar, itu pun bukan jaminan untuk
kita dimenangkan dan dibenarkan. Acap kali pihak pasangannya kita terus
berusaha menegakkan benang yang basah. Apatah lagi bila egonya
tercabar. Lalu sikap kita bagaimana? Jangan berterusan menuntut hak.
Jangan memendam rasa dengan mengecam bahawa keadaan itu tidak adil.
Ingatlah, berterusan memperjuangkan kesempurnaan dalam dunia (termasuk
rumah tangga) yang tidak sempurna ini hanya akan menjerumuskan kita ke
lembah dendam, marah, kecewa dan kemurungan.
Rasa-rasa yang negatif ini akan
‘menyedut’ tenaga, keceriaan dan akan menyebabkan kedutan pada wajah
kita. Kesannya, kita akan ditarik ke belakang. Malah kita akan ditolak
ke lorong yang salah dalam kembara kehidupan yang penuh ujian ini. Untuk
bergerak ke hadapan dan terus memburu kemajuan dalam diri agar lebih
bahagia dan tenang dalam hidup… kita perlu tinggalkan segala keegoan,
kepentingan, ketakutan dan sikap tidak memaafkan. Semua itu hanya boleh dicapai apabila
kita fokus kepada tanggung jawab dan selalu berfikir tentang apa yang
perlu aku lakukan berbanding dengan apa yang sepatutnya dia (pasangan
kita) lakukan. Tumpukan kepada apa yang boleh kita kawal, yakni tanggung
jawab kita bukan pada sesuatu yang di luar kawalan kita yakni hak kita
yang ada pada kawalan pasangan kita. Ironinya, mereka yang berjaya
melaksanakan tanggung jawab dengan baik sering mendapat haknya sebagai
balasan. Dan kalau mereka tidak mendapat balasan daripada pasangannya
pun, Allah akan memberikan ketenangan dalam hati mereka seperti mana
ketenangan yang dirasai oleh Siti Asiah isteri kepada Firaun.
ii) Sering berdamping dengan orang yang positif.
Siapa kita lima tahun akan datang
dicorakkan oleh dengan siapa kita bergaul dan buku apa yang kita baca.
Begitu ditegaskan oleh orang bijaksana. Dengan siapa kita meluangkan
masa kita sangat menentukan sikap kita. Kata pepatah, burung yang sama
bulu akan terbang bersama. Rasulullah s.a.w menegaskan, agama seseorang
ditentukan oleh temannya.
Justeru, berhati-hatilah memilih orang untuk kita dampingi. Jauhkan ‘toxic people’
yang sering menusuk jarum-jarum umpatan, adu domba dan rasa pesimis
dalam melayari kehidupan berumah tangga. Pernah kita jumpa orang yang
sentiasa mengeluh? Asalkan berjumpa sahaja mulalah dia mengeluh tentang
badannya yang tidak sihat, dia sering ditipu, dia dilayan dengan buruk
sampailah ke rumahnya yang sempit… Apa yang anda dapat daripada orang
yang begini?
Oleh itu jika jiran, teman atau kenalan
kita ialah dia yang tidak ‘melahirkan’ sesuatu yang baik dan positif
daripada diri anda, mengapakah tidak kita buat sedikit perubahan atau
penyesuaian? Kita berhak untuk meletakkan satu jarak yang agak jauh
untuk tidak dijangkiti oleh sikap negatifnya. Ingat, teman rapat kita
ialah mereka yang membantu kita mengeluarkan yang terbaik dari dalam
diri kita. Kaki umpat, mengeluh dan menghasut hakikatnya bukan sahabat
kita walaupun kelihatan dia baik dengan kita! Ingat pepatah Melayu lama –
sokong yang membawa rebah.
iii) Jadikan sekarang masa paling gembira.
Jika orang bertanya bilakah masa yang
paling gembira dalam hidup berumah tangga kita, jawablah, “sekarang!”
Usah berpaling ke belakang dengan mengatakan semasa mula-mula kahwin
dahulu atau melangkau ke masa hadapan dengan berkata, “bila anak-anak
sudah besar dan hidup lebih stabil.” Dengan berkata demikian kita telah
‘membunuh’ potensi hari ini.
Ya, memang kita mula-mula kahwin dahulu
kita gembira, tetapi rasa gembira itu hanya pada waktu itu. Dan waktu
itu telah berlalu. Kita hanya hidup pada masa ini bukan pada masa lalu.
Justeru, jadikanlah masa ini masa yang paling gembira. Hiduplah untuk
hari ini kerana semalam sudah berlalu dan hari esok masih belum tentu.
Inilah yang dipesankan oleh Rasulullah s.a.w, jika kamu berada pada pagi
jangan menunggu waktu petang dan begitulah sebaliknya. Kita hanya akan
meletihkan diri sendiri jika cuba hidup dalam tiga masa – semalam, hari
ini dan esok!
Jangan biarkan tragedi masa lalu
menyengat kita berkali-kali dengan mengenangnya selalu. Sebaliknya,
carilah pengajaran yang kita dapat daripadanya dan selepas itu terus
lupakan. Juga jangan sentiasa diingat-ingat saat gembira masa lalu
kerana itu hanya memori dan itu bukan lagi realiti yang sedang kita
hadapi masa kini. Sebaliknya, carilah apakah ‘resipi’ yang
menghasilkannya dahulu dan mari dengan itu kita ciptakan kegembiraan
baru hari ini!
iv) Cari jalan untuk mengatasi stres.
Stres akan menyebabkan keletihan dalam
pemikiran dan perasaan yang lama-kelamaan akan membentuk sikap yang
negatif. Oleh itu para suami atau isteri mesti menemukan cara untuk
mengawal stres. Antara kaedah terbaik ialah dengan melakukan aktiviti
fizikal, hobi atau minat kita. Boleh jadi dengan berkebun, menenun,
membaca, berjoging atau bersukan. Lepaskanlah geram, kecewa dan marah
kita kepada aktiviti yang menyihatkan dan menceriakan.
Jangan tahan jika anda hendak ketawa,
berlari atau melompat sepuas-puasnya. Bebaskan diri daripada belenggu
tekanan dan masalah yang menghantui hidup anda. Dengan aktiviti yang
aktif dan perlakuan yang memerlukan konsentrasi mental, fikiran, jiwa
dan emosi kita akan melalui tempoh ‘pause’ atau istirahat. Lupakah kita
bahawa Rasulullah saw berlumba lari dengan isterinya?
Ini akan memberi kekuatan untuk kita
meneruskan kehidupan dengan lebih baik. Kita akan dapat melupakan
seketika masalah yang kita hadapi… bukan untuk eskapisme tetapi untuk
kembali menanganinya semula apabila jiwa kita segar, fikiran kita tenang
dan emosi kita telah kembali stabil.
v) Jangan terlalu serius.
Kehidupan berumah tangga ialah sesuatu
yang serius tetapi perlu dijalani dengan tidak terlalu serius. Jalanilah
kehidupan dengan sedikit gurau senda dan berhibur. Siti Aishah pernah
meletak dagunya di bahu Rasulullah s.a.w untuk melihat tarian orang
Habsyah. Hiburan umpama garam dalam masakan. Tidak perlu terlalu
banyak, tetapi cukup sekadar keperluan untuk memberi rasa yang enak. Ya,
sedangkan Rasulullah s.a.w lagikan bergurau dengan isteri-isterinya,
mengapa kita tidak?
Memang banyak perkara yang penting dan
kritikal perlu kita selesaikan, tetapi itu tidak menghalang daripada
kita berjenaka dan bergurau senda seadanya dengan pasangan kita.
Insya-Allah dengan unsur-unsur humor dalam rumah tangga kita, hubungan
kita suami isteri akan lebih kukuh dan kita akan mampu bergerak lebih
jauh untuk menghadapi cabaran dalam rumah tangga. Ternyata mereka yang
menangani kehidupan dengan ceria menjadi individu yang lebih berjaya
menyelesaikan konflik dalam berumah tangga seterusnya membina rumah
tangga bahagia.
Apabila rumah tangga kelihatan malap atau
‘sindrom bisu’ mula melanda, cepat-cepatlah ubah suasana luaran itu
dengan mengubah suasana dalaman kita dengan empat cara yang dicadangkan
ini. Insya-Allah, yang penting bukan apa yang kita lihat tetapi
bagaimana kita melihatnya. Orang yang positif akan sentiasa melihat sisi
positif pada pasangan dan keadaan yang sedang dihadapinya… Mereka
sahaja yang layak bahagia kerana sentiasa berfikir untuk membahagiakan
orang lain. Sebaliknya orang yang negatif, hanya akan menyeksa dirinya
dan membosankan pasangan hidupnya!
Kesimpulannya, bersangka baiklah walaupun
kekadang keadaan tidak sebaik yang kita sangkakan. Bukan menafikan
realiti, tetapi demi ketenangan hati. Orang yang buruk sangka akan
tersiksa dua kali, pertama oleh sangkanya atas keburukan yang belum
terjadi. Kedua, oleh derita hatinya apabila yang buruk itu telah
benar-benar terjadi.
Apabila kita bersangka baik, hati akan
menjadi lebih tenang. Kita punya tenaga dan upaya untuk menghadapi ujian
hidup apabila kita hadapinya dengan tenang. Ya, mungkin kita tidak
mampu mengubah keadaan, tetapi sekurang-kurangnya kita punya kekuatan
untuk menghadapinya. Pada hal yang buruk dan sukar itu kekadang hanya
seketika, atau boleh jadi yang buruk itu… tidak buruk sama sekali. Ada
hikmah yang tersirat di sebaliknya. Ada kebaikan yang tersembunyi di
belakangnya. Begitulah hidup… satu siri misteri yang tidak dapat ditebak
dan diduga. Pernah kita membayangkan suami atau isteri kita yang ada
ini sebelum ini? Kebanyakkannya tidak! Bercinta dengan orang lain,
berkahwin dengan orang lain. Itulah misterinya takdir…
Apa yang perlu kita lakukan… bersyukur
dengan apa yang ada. Bila bersyukur Allah tambah nikmat. Bersyukurlah
dengan pasangan yang ada, Insya-Allah, Tuhan akan menambah kebahagiaan
kita. Kalau dia tidak berubah perangai, kita pula yang Allah kurniakan
kesabaran untuk menghadapi karenahnya. Itu juga satu anugerah bukan? Ya,
kata bijak pandai, “jangan minta hidup yang mudah tetapi pintalah hati
yang tabah untuk menghadapinya!”
[sumber: Ustaz Pahrol Mohd Juoi; genta-rasa.com]
No comments:
Post a Comment