Thursday, September 13, 2012

Ishtiharah itu pun perlu Mujahadah

Mengapa sukar benar hidup bersamanya? Mengapa kini dia berubah laku? Kenapa dia tidak seperti yang saya harapkan dulu? Padahal dia ada pilihan saya setelah solat istiharah. Apakah solat istikharah saya itu tersalah. Atau saya tidak faham petunjuk sebenar daripada Allah hasil istikharah saya dahulu? Saya sungguh menyesal.
 Begitulah antara suara rintihan dan kelohan yang kerap kita dengar samada daripada mulut isteri atau suami setelah beberapa lama mengharungi kehidupan rumah tangga. Apabila ‘warna sebenar’ pasangan kita terserlah yakni setelah lima tahun rumah tangga berumah tangga, maka pada waktu itu ada yang ‘reverse’ ke belakang, dirasakannya masalah kini adalah akibat tersalah membuat pilihan pada awal perkahwinan.
 Ini bukan muhasabah yang sehat. Sebaliknya, ini adalah satu musibah yang berat. Tidak ada gunanya ‘menggergaji abuk kayu’. Masa yang berlalu tidak akan berulang kembali. Kesalahan atau kesilapannya tidak akan dapat diperbetulkan lagi. Sebaiknya bersangka baiklah kepada Allah… dia suami atau isteri kita itu ialah takdir yang telah maktub untuk kita. Dia dan kita telah ditakdirkan Allah hidup bersama.
 Jangan ada di dalam hati kita rasa menyesal, rasa terlanjur, yang kita telah tersalah pilih. Tidak sekali-kali. Sekalipun pilihan kita tepat, tetapi kita tetap diuji. Maksudnya, istikharah yang betul dan tepat sekalipun bukanlah jaminan untuk kita tidak diuji. Istikarah kita tetap mengundang musibah… kerana itulah sunnatullah yang tidak berubah-ubah dan tidak sekali-kali bertukar ganti. Hidup dan mati kita adalah untuk di uji. Dunia dan medan rumah tangga hakikatnya adalah medan ujian siapakah diantara kita yang terbaik amalannya.
 Pasrahlah dengan pilihan yang kita telah lakukan lewat istkharah. Kata bijak pandai, setiap perkahwinan dibina atas dasar niat, harapan dan impian yang baik namun setiap pasangan suami isteri bertanggung jawab memupuk, membajaai dan menjaga benih kebaikan itu agar tumbuh menjadi pohon yang rendang. Perkahwinan Nabi Adam dan Siti Hawa yang berlaku di syurga itupun ditakdirkan terdampar di dunia untuk diuji dengan pelbagai kesusahan dan penderitaan.
 Jika sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan…ya itu sekiranya pangkal jalan kita salah. Namun bagaimana jika pangkal jalan kita sudah benar tetapi kita menghadapi masalah di tengah perjalanan? Jawabnya, teruskan perjalanan. Jangan berpatah balik. Namun telitilah satu persatu apa yang kita telah tersalah, belajar daripadanya. Jangan ulangi kesalahan yang sama berulang kali… cukup hanya sekali kerana orang mukmin itu tidak akan terjerumus dalam lubang yang sama dua kali.
 Jangan salahkan istikharah kerana itu sama dengan menyalahkan diri sendiri dan menyalahkan Allah. Apa yang penting, tanamkan di hati, bahawa Istikharah kita telah tepat, cuma setepat manapun pilihan kita hasil petunjuk Allah, kita tetap akan diuji. Ingat selalu, pilihan yang tepat hasil istikharah itu umpama benih yang baik. Ya, benih yang baik sekalipun memerlukan baja, cahaya, air dan dijaga dari gangguang serangga untuk bertunas, berdaun, berbunga dan akhirnya berbuah. Jadikanlah diri kita suami atau isteri yang umpama tukang kebun yang rajin bekerja di kebun cinta!
[sumber: Ustaz Pahrol Mohd. Juoi; genta-rasa.com ]

No comments: