Friday, March 02, 2012

Berdamailah dengan Takdir

Rasulullah mengajar kita supaya berdoa dengan doa ini,

"Ya Allah janganlah Engkau serahkan diriku kepada diriku sendiri walaupun sekelip mata."

Mengapa? kerana diri kita lemah, ilmu cuma 'sekerat', kudrat kita terhad. Mana mungkin kita dapat mengharungi kehidupan yang begitu mencabar ini hanya bersandarkan kekuatan diri. Justeru, dalam doa itu Rasulullah saw berpesan agar serah dan pasrahkanlah hati serta diri kepada Allah.

Kita tidak mengetahui apa yang terbaik untuk diri kita sendiri. Kita hanya penerima, kita bukan Pemberi. Yang memberi ialah Allah, dan Allah menegaskan apa yang diberikan-Nya untuk kita adalah baik belaka. Namun akal kita tidak akan mampu mengetahui rahsia di sebalik yang pahit, pedih dan sakit. Mahunya yang manis-manis sahaja. Apatah lagi nafsu. Ia akan memberontak apabila terjadi sesuatu yang berlawanan dengan kehendak tabi'e nya.

Apabila berlaku sesuatu yang berlawanan dengan kehendak diri, berlakulah stress, marah dan sedih. Itu biasa. Hal itu sentiasa berlaku dalam kehidupan kita. Yang luar biasanya, apabila kita memilih untuk 'berkelahi' dengan takdir. Kita tidak menerima 'warna-warni' kehidupan seadanya. Kita tidak berdamai dengan takdir sebaliknya memilih untuk memberontak, mempersoalkan dan melawannya. Persoalan kenapa? Mengapa? Sering menghantui jiwa.

Bayangkan kita sedang berjalan di tepi pantai sewaktu matahari mula terbenam. Warna di kaki langit menjadi jingga, oren dan kuning keemasan. Kita melihat dan menikmatinya sahaja. Kita tidak berkata, "Sewajarnya ditambah warna kuning, dikurangkan warna jingga." Tidak! Kita tidak akan berkata begitu. Sebaliknya kita memilih untuk 'bersahabat' dengan alam dan menikmati lukisan alam seadanya. Hasilnya? Kita tenang. Kita menikmati alam seperti seadanya. Akur kepada Pencipta senja.

Ironinya, sikap kita tidak begitu apabila berdepan dengan 'lukisan takdir' pada kanvas kehidupan kita. Sedangkan lukisan alam dan lukisan takdir itu sama-sama datangnya daripada Allah. Mengapa kita memilih untuk berkrisis dengan ketentuan Allah dan tidak mahu menerima semua itu seadanya?

Berusahalah dengan segala upaya yang dikurniakan Allah. Tidak salah. Malah, kita dituntut untuk mencorakkan kehidupan sendiri dengan panduan serta kekuatan yang dibekalkan oleh Allah jua. Namun, setelah berusaha dan bersusah payah semaksimumnya, letakkan segalanya di pinggiran. Jangan sekali-kali bersandarkan kepada diri, namun bertawakkal, bersangka baik dan berdoalah kepada Allah. Apapun nanti hasilnya, katakan pada diri, "Aku harap yang baik, Allah akan memberi yang baik."

Jika yang diharapkan berlaku, maka bersyukur. Namun sekiranya berlaku sesuatu yang tidak dijangka dan tidak disangka maka bersabarlah. Belum tentu itu satu keburukan. Seringkali keberkatan, kebaikan dan kejayaan dibungkus oleh takdir dengan kepahitan, kerugian dan kegagalan. Seringkali kita gagal melihat hakikat ini ketika ia sedang berlaku. Namun, apabila sedikit masa berlalu barulah kita sedar, rupa-rupanya Allah takdirkan kita berundur ke belakang untuk mengambil lajak bagi melonjak lebih tinggi dan lebih jauh ke hadapan.

Inilah hakikat hidup yang dipilih Allah untuk kita. Kita akan terus berbaik sangka kepada Allah. Dia akan mengubat, melapang dan memberi kemenangan di sebalik setiap takdir-Nya. Ya, kita tidak akan tahu segalanya, kerana ilmu sekelumit cuma. Namun apabila Allah yang Maha Penyayang telah memilih itu kita maka yakinlah kasih sayang-Nya sentiasa mendahului kemurkaan-Nya. Yang pahit itu akan menjadi ubat. Yang pedih itu akan menjadi penawar.Jika itulah suara hati kita, mana mungkin kita gelisah, resah dan stress keterlaluan? Yakinlah, kita hamba Allah. Allah tidak akan mengecewakan kita.

[source: Ustaz Pahrol Mohd Juoi ~iluvislam.com]

Bagaimana mendapatkan keberkatan Belajar?

Mungkin jarang antara kita yang tidak tahu tips-tips belajar daripada 'salafus soleh' terdahulu. Semua tahu bukan apa itu berkat?

Sesuatu yang tidak boleh dilihat, tetapi dengan berkat itu, kita boleh berasa tenang dan bahagia sentiasa walaupun separuh dunia berada di bahu kita.

TIPS BELAJAR

1) Sebelum belajar, niat bahawa aku belajar ini kerana Allah S.W.T.

Setiap kali mahu keluar bilik untuk pergi kuliah, sentiasa ingatkan diri, aku menuntut ilmu ni kerana Allah S.W.T. Banyak kelebihan bagi orang yang menuntut ilmu.

Jangan rasa tertekan jika kelas bermula seawal jam lapan pagi dan habisnya pula dalam pukul lima petang. Tetapi fikir bahawa sepanjang proses menuntut ilmu ini, Malaikat akan sentiasa mendoakan kita. Jadi, kita tidak akan rasa terlalu tertekan jika kelas itu tersangatlah lama.

2) Disiplinkan diri.

Setiap kali mahu study, mesti baca satu muka surat al-Quran sebelum bermula waktu study itu. Jadi, pasti kita tidak tinggalkan al-Quran walau sesibuk mana pun kita. Ustazah ada cerita satu kisah yang sangat memberi inspirasi.

Ada seorang budak perempuan di Arab Saudi yang mayatnya tidak hancur, walaupun sudah lebih dua tahun dia meninggal dunia. Ramai yang pelik kerana budak itu masih kecil, dalam umur 15 tahun. Jadi, ada yang pergi pada kedua ibu bapa budak itu dan bertanya, apakah amalan budak perempuan ini.

Ibunya menjawab, saya tidak tahu apa yang istimewa anak saya lakukan, cuma saya tahu dia sangat menjaga al-Quran. Setiap kali sebelum belajar, dia pasti akan baca satu muka surat ayat-ayat al-Quran, memang tidak pernah tinggal. Jadi, budak sekecil ini pun boleh baca satu muka surat setiap kali sebelum belajar, kita yang besar panjang ini mustahil tidak mampu bukan? Orang yang hebat tidak akan memberi alasan, tetapi dia sentiasa cari jalan.

3) Kembalikan caj-caj positif dalam diri supaya tiada ruang untuk Syaitan menghalang kita menuntut ilmu.

Apaila kita rasa tertekan kerana berkali-kali sudah membaca topik tersebut, tetapi tetap tidak faham, dan akhirnya, kita rasaputus asa dan terus tutup buku. Dan yang lebih bahaya, mind setting akan mengatakan topik ini sangat susah dan tidak menarik. Akhirnya, kita tinggalkan terus topik itu hingga akhirnya kelam kabut waktu menjelang peperiksaan.

Jadi, apa kata kita cuba tips daripada 'salafus soleh' terdahulu. Apabila ada sesuatu yang menghalang fokus, mereka pergi perbaharui wudhuk dan solat sunat dua rakaat.Jika kita seperti ini, sekurang-kurangnya dapat perbaharui wudhuk sudah memadai.

4) Utamakan seruan Allah S.W.T.

Part paling penting! Apabila sedang khusyuk study, tiba-tiba azan berkumandang. Berhentilah sebentar untuk menyahut seruan Allah S.W.T. Tidak lama pun solat ini. Jadikan ia sebagai terapi diri selepas penat belajar. Imam Ghazali ada mengatakan bahawa:

"Orang yang menyahut seruan azan dengan serta merta meninggalkan segala urusan untuk menunaikan solat berjema'ah, di akhirat kelak, dia akan dijemput oleh Allah S.W.T dengan penuh lemah-lembut dan menjadi tetamu-Nya."

Jadi, setiap kali rasa berat punggung mahu berhenti study untuk solat, ingat kembal, jika aku mahu dijemput oleh Allah S.W.T di Akhirat kelak, aku perlu utamakan solat dahulu daripada kerja lain. Mana kita tahu bukan, kita lagi rasa mudahapabila belajar selepas selesai solat itu. Inilah namanya berkat. Apabila kita utamakan Allah S.W.T daripada benda lain.

5) Jangan lupa membaca doa dan ambillah wudhuk sebelum mula belajar.

Doa mohon Allah S.W.T memberi kekuatan dalam menuntut ilmu. Apabila kita ada wudhuk ini, kita akan sentiasa ingat bahawa belajar ini adalah satu ibadah yang sangat dituntut dalam Islam dan memudahkan lagi untuk kita terus solat jika sedang belajar, tiba-tiba azan. Kita tidak tahu dengan wudhuk itu, kita belajar lebih berkat.

Kesimpulannya, selamat beramal. Cubalah praktis tips belajar ini, matlamat kita bukanlah cemerlang dalam belajar semata, tetapi kita juga mahu keberkatan daripada Allah S.W.T. Ihfazillah yahfazka, ihfazillah tajidhu tijaahak (Jagalah Allah, nescaya Allah menjagamu).

Jadilah seperti Rasulullah S.A.W dan para sahabat yang hidupnya seimbang dunia akhirat, walaupun sibuk di medan perang dan sibuk mentadbir negara. Mereka lagi sibuk daripada kita, tetapi masih ada waktu untuk bangun tahajjud dan membaca al-Quran.

Buat pemburu dunia, jangan pula kita memberi alasan, mereka tidak sama macam kita, Iman mereka mantap kerana Rasulullah S.A.W ada di sisi. Kita tidak sehebat mereka. Andai itulah pemikiran kita, percayalah, selamanya kita akan menunduk ke bawah tanpa mendongak langit yang cerah di atas.

[source:iluvislam.com]

TIP: Gembira Sepanjang Masa

Kesegaran dan minda positif hari mampu menambahkan semangat bagi melakukan tugasan seharian. Indahnya Islam membawakan nilai dan motivasi positif bagi umatnya sentiasa ceria dan gembira dalam tugasan seharian.
Perkara terbaik yang boleh dilakukan selepas membuka mata di pagi hari adalah:

1. BersyukurBersyukur kerana anda masih diberi nafas pagi ini bagi melihat matahari dan menghirup segarnya udara kurniaan Allah. Bersyukur juga kerana anda masih diberi kesempatan bagi melakukan dan menjadi yang terbaik dan pastinya lebih baik daripada yang semalam.

2. Tekad Bermotivasi.
Ucapkan dalam hati dan kepada diri yang anda mahu bersemangat sepenuhnya. Dengarkan dan baca bahan bermotivasi sebelum memulakan tugas. Di waktu awal pagi, jangan buka email, baca newspaper, baca gosip-gosip mahupun join sesi mengumpat bersama kawan-kawan. Sebab, ia menerbitkan energi negatif lalu menghalang anda dari bermotivasi sepanjang hari.

3. Tingkatkan motivasi diri dengan mencari motivasi terbaik. Motivasi harus dijaga. Motivasi sekiranya tidak dipelihara akan menjadikan kita tidak bersemangat.4. Dalam Apa Jua Yang Anda Buat, Mulakan Dengan Bismillah.Mulakan setiap tugasan yang ingin dilakukan dengan bismillah. Bismillah dapat menjauhkan kita daripada bisikan syaitan dan perasaan was-was.

5. Mulakan hari dengan ubah sikap. Tetapkan apa yang mahu dicapai.

6. Maafkan semua orangSebelum dan selepas bangun daripada tidur, maafkan insan di sekeliling kita. Memaafkan dapat menghilangkan segala kerungsingan dan keresahan hidup. Hati juga akan menjadi tenang dan tenteram apabila kita memaafkan insan lain.

7. Berani dan bersedia untuk berubah dan berhijrah bagi Kecemerlangan Hidup. Sentiasa yakin Allah sebagai pelindung kita. Hakikatnya kita sendiri yang dapat mengubah kehidupan kita.

[source: iluvislam.com]

Resipi: Waffle

Waffle merupakan makanan yang terkenal terutamanya di Belgium dan juga Amerika Syarikat. Waffle boleh dimakan dengan pelbagai jenis topping seperti ais krim, coklat, strawberi, madu dan banyak lagi. Apa kata, anda mencuba untuk memasak waffle pada petang ini.

Jom kita tengok, apakah bahan-bahan dan cara-cara memasak waffle. Selamat mencuba.

Bahan-bahan ( 4 keping ):

• 1/2 cawan tepung gandum

• 75 ml susu segar

• 2 biji telur (saiz C) asingkan putihnya

• 1/2 sudu teh baking powder

• 1 sudu teh minyak masak

• 1 sudu teh gula halus

• secubit garam

Cara-cara:

  1. Pukul putih telur dan gula hingga kembang dan gebu. Ketepikan.
  2. Di dalam bekas berasingan, gaul rata telur kuning, tepung (ayak bersama baking powder terlebih dahulu), susu, garam, minyak masak. Masukkan adunan ini ke dlm telur putih tadi.Gaul rata.
  3. Panaskan snack maker,sapukan sedikit marjerin ke atas dulang waffle. Masukkan adunan dan bakar kira-kira 2 minit. Sedap di makan dengan jem, kaya, aiskrim atau madu.
  4. Boleh juga di masak dalam kuali. Walaupun rupa tak serupa, rasanya tetap sama.
[source: iluvislam.com]

Pemuda vs Pemudi: Logikkah?


Logikkah?
Ramai menganggap lelaki bersalah jika berkawan mesra dengan seorang perempuan, tetapi bukan niat untuk dihalalkan (kahwin)?

Patutkah?
Seorang perempuan berkawan mesra, melayan seorang lelaki, tetapi sekadar teman biasa, dengan alasan selesa berkawan sedemikian?

Salahkah?
Apabila lelaki dilayan mesra itu, berasa tertarik, lalu meluahkan perasaan untuk mengubah perhubungan kawan yang penuh batasan menjadi teman yang pasti halal, lantas dikatakan tidak ikhlas dalam berkawan.

Setujukah?
Berkawan lelaki dan perempuan, BIASANYA akan ada atau bakal timbul satu perasaan lumrah, ke arah pernikahan.

Solusinya..
Matlamat tidak pernah menghalalkan cara.
Tutuplah jalan-jalan fitnah yang tidak pasti bila datang, kerana ketaqwaan.
Samada sekadar keperluan atau untuk pernikahan..
Jika perlu berhubung lelaki dan perempuan, pastikan sekadar keperluan,
Segala yg berlebihan, layanan mesra MESTILAH dijauhkan
Jika ada PERASAAN, ikhlaskan, ikut saluran yang betul.

Untuk kaum Adam, Jika ada perasaan, pastikan mengikut saluran yang betul, berdasarkan pedoman Al-Quran dan Sunnah Nabi Junjungan SAW. Jika ditolak samada penuh kehormatan atau tidak berbalas, anggaplah ianya 'ibrah (pengajaran) dan khibrah (pengalaman) kehidupan.Untuk kaum Hawa, Jika ada menerima luahan penuh keikhlasan yg telah mengikut saluran yg betul, cubalah balas keikhlasan dengan kejujuran, "berkatalah benar walau jawapannya penuh kepahitan". Jika tiada kemampuan, gunalah kebijaksanaan untuk menyatakan juga jawapan (mungkin melalui saluran orang tengah), apa yang penting, jujur dan tenang dalam jawapan.

INGATLAH SABDA RASULULLAH SAW:

"Tidak beriman seseorang kamu (masih belum sempurna imannya), sehingga dia menyukai (sesuatu kebaikan terjadi) untuk saudaranya, sebagaimana dia menyukai (kebaikan itu terjadi) untuk dirinya sendiri".
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kesimpulannya,

Jika kita suka kebaikan, kejujuran dan keikhlasan untuk diri kita, maka lakukanlah sedemikian rupa untuk saudara-saudara kita, kerana itulah tanda kesempurnaan Iman..

Semoga Allah membalas segala kebaikan mereka dan kita dengan dipermudahkan segala urusan, kerana sebagaimana Sabda Nabi SAW:

"Allah pasti menolong hambaNya, selagi mana dia menolong saudaranya"
(Hadis Riwayat Muslim)

Muhasabahlah demi satu perubahan, kerana perubahan ke arah kebaikan pasti membentuk kehidupan penuh kesejahteraan.

[source: iluvislam.com]

Madu Itu Pahit?????

Wanita, sinonimnya apabila disentuh isu poligami kebanyakkan tidak 'senang duduk' mendengarkannya.

Suami berkahwin satu lagi, isteri kedua, bermadu dan paling tepat sekali ialah poligami.

Poligami beerti mengamalkan beristeri lebih daripada satu iaitu dua, tiga atau had maksimumnya ialah empat dalam satu masa.

Namun, poligami bukan sesuatu yang boleh di anggap mudah bagi yang berhasrat untuk melakukan.

Banyak syarat, prosedur dan perkara-perkara yang perlu diambil kira untuk mencapai poligami yang mengikut kehendak agama Islam.

Allah swt berfirman :

Surah Al-Nisa' : Ayat 3

الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ. الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ. مَالِكِ يَوْمِوَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تُقْسِطُوا فِي الْيَتَامَىٰ فَانكِحُوا مَا طَابَ لَكُم مِّنَ النِّسَاءِ مَثْنَىٰ وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ ۖ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰ أَلَّا تَعُولُوا

"Maka berkahwinlah (dengan) sesiapa yang kamu berkenan daripada perempuan-perempuan (lain) dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman." - (Surah al-Nisa':3)

Antara sebab mengapa Islam mengharuskan poligami:

01.Lelaki atau suami mempunyai dorongan nafsu syahwat yang luar biasa sehinggakan isteri tidak dapat memenuhi keinginannya.

02.Keadaan isteri yang sentiasa uzur dan sabit membolehkan suami berkahwin lagi.

03.Menjadi pembela kepada kaum wanita yang menjadi balu atau janda setelah suami gugur dalam berjihad menegakkan agama Allah.

04.Menyelamatkan kaum wanita 'andalia' yang belum berpeluang mendirikan rumah tangga.

[source: iluvislam.com]

Panduan Memilih Jodoh

Mencari pasangan hidup bukan mudah. Pasangan hidup maknanya pasangan untuk hidup bersama. Bukan sekejap. Jika umur panjang mungkin bersama sehingga 50 tahun. Bangun bersama, makan bersama, berbual bersama, tidur bersama. Berkongsi anak, berkongsi rumah, berkongsi rasa, berkongsi kasih.

Maka, mencari pasangan hidup ini memang perkara serius. Serius. Memang serius. Jangan akibat si dia mengurat anda, maka anda terus terpesona dan bersetuju. Jangan semata si dia comel atau glamour, maka anda terus mengambilnya.

Fikir betul-betul. Solat istikharah dan banyakkan berdoa. Selagi belum tenang jiwa, tunggu dulu. Usah tergopoh gapah. Mencari jodoh, perlukan panduan. Perlu ada sandaran ilmu dan petunjuk. Dalam banyak-banyak penulisan saya suka memetik sebahagian dari artikel Ust Hasrizal (Abu Saif) dalam lamannya SaifulIslam.com. Antara yang menarik tulisan berikut:

Hadith Nabi SAW yang diulang-ulang sebagai slogan memanifestasikan keinginan berumahtangga.

Bukan tidak banyak penjelasan tentang hadith ini di pelbagai sumber maklumat yang ada. Tetapi sering anak muda kecundang dalam mengimbangkan kefahamannya dalam konteks TEPAT dan JELAS. Selagi mana tidak tepat, selagi itulah jalannya tersasar ke sana sini. Kehidupan yang tidak ditentukan arahnya, adalah kehidupan yang tidak tentu arah.

Apa tujuan berumahtangga?

"Begin with the end in mind", adalah slogan kita untuk menepatkan matlamat kehidupan dan segenap peringkat perjalanannya.
Soal menentukan matlamat yang tepat, tidaklah begitu susah.

Berkahwin kerana harta? Harta bukan sumber bahagia. Donald Trumph yang kaya raya itu pun pernah mengeluh dalam temubualnya bersama John C. Maxwell, "aku melihat ramai orang yang lebih gembira hidupnya dari hidupku. Padaku mereka itulah orang yang berjaya. Tetapi semua orang mahu menjadi aku"

Harta bukan matlamat atau pertimbangan utama dalam menentukan pemilihan pasangan.Berkahwin kerana keturunan? Keturunan bukan jaminan sumber bahagia. Syarifah hanya boleh berkahwin dengan Syed? Puteri hanya layak untuk Megat? Atau pantang keturunan berkahwin dengan ahli muzik bak kata Mak Dara? Soal keturunan bukan penentu mutlak kerana setiap manusia lahir dengan fitrah yang satu dan murni, lantas setiap mukallaf dan mukallafah mampu kembali kepada kemurnian itu, biar pun lahir ke dunia tanpa bapa yang sah sekali pun.

Keturunan bukan matlamat atau pertimbangan utama dalam menentukan pemilihan pasangan.

Berkahwin kerana [1] kecantikan? Ahh, yang ini rumit barangkali. Cinta itu dari mata turun ke hati. Maka mata pemutus pertama. Jika berkenan di mata, mudahlah mata memujuk hati.Tetapi selama mana kecantikan menyenangkan kehidupan? Kecantikan, biar secantik mana pun, akan pudar dengan perjalanan masa. Kecantikan, biar secantik mana sekali pun, boleh dicabar oleh naluri manusia yang mudah kalah dengan alasan JEMU.Mahu berkahwin sementara cantik, dan buang selepas cantik dan kacak bergaya itu dimamah usia?

Cantik bukan sumber bahagia, ia bukan matlamat atau pertimbangan utama dalam menentukan pemilihan pasangan."Maka pilihlah yang memiliki agama... nescaya sejahtera hidupmu", pesan Nabi SAW.Benar sekali, pilihlah yang beragama."Maka saya kena kahwin dengan ustazah, saya kena kahwin dengan ustaz!", kata seorang pelajar 'bidang bukan agama'.

PENYAKIT "TIDAK JELAS"

Setelah begitu tepat sekali kita menolak harta, keturunan dan rupa paras sebagai sebab untuk memilih pasangan, tibalah kita kepada masalah paling besar [2] menguruskan fikiran tentang perkahwinan, iaitu penyakit "tidak jelas", apabila tiba kepada soal beragama.
Apakah yang memiliki agama itu mesti seorang yang ustazah atau ustaz?

Maka berkahwin dengan golongan ini, jaminan bahagia. Benarkah begitu?

Di sinilah penting untuk kita bezakan golongan yang TAHU agama, MAHU beragama dan MAMPU dalam beragama.
Soal mendapatkan ilmu sebagai jalan beragama, adalah prinsip besar di dalam Islam. Lihat sahaja langkah pertama proses wahyu, ia bermula dengan perintah BACA sebagai wasilah menggarap pengetahuan.

Tetapi apakah TAHU itu merupakah maksud kita beragama dengan agama Islam ini?

Sejauh mana gred 'A' yang digarap dalam subjek "PengeTAHUan Agama Islam" menjadi bekal dan perisai generasi Muslim dalam beragama?

"Yang memiliki agama" itu lebih luas dari sekadar sempadan tahu agama. Ia adalah soal mahu yang menjadikan pengetahuan agama itu dihayati, dan mampu dalam erti dia sentiasa bermujahadah untuk memperbaiki diri.

Maka janganlah disempitkan maksud mencari yang beragama itu hanya pada mereka yang berlabelkan "jenama TAHU agama" tetapi apa yang lebih penting adalah mereka yang MAHU dan terbukti pada perbuatan hariannya dia sentiasa berusaha menuju MAMPU.

Dia mungkin seorang ustazah.Dia juga mungkin seorang jurutera dan doktor.Dia mungkin bertudung labuh.Dia juga mungkin belum bertudung tetapi sentiasa mencari jalan untuk menuju kesempurnaan kebaikan. Dia seorang yang membuka dirinya untuk dibimbing dan diajar. Seorang yang 'teachable".

HANYA 'BERAGAMA'?

Ada pula yang menyangka bahawa kebahagiaan rumahtangga itu terletak pada beragamanya pasangan kita. Soal harta, keturunan dan rupa paras tidak punya sebarang makna.

Maka jadilah seorang perempuan itu fasih lidahnya tentang agama dan rapi pakaiannya sebagai isyarat dia beragama, tetapi dia tidak mengetahui nilai harta. Dia boros dan tidak bijak menguruskan harta rumahtangganya.

Dia nampak elok beragama, malah mungkin seorang pejuang agama, tetapi dia tidak peduli nilai keturunan dan kekeluargaan. Dia tidak menghargai keluarganya sendiri, tidak menghargai keluarga suami atau juga keluarga isteri. Padanya, soal keluarga dan keturunan bukan urusan agama.

Dia bijak dalam memperkatakan tentang agama, tetapi dia menjadikan alasan agama untuk tidak peduli kepada penampilan diri.

Pakaiannya selekeh atas nama agama, kulitnya tidak dijaga bersih, beralasankan agama. Jika perempuan, dia tidak peduli untuk mewangikan diri atau bersolek mengemas diri, kerana padanya itu semua bukan kehendak agama, dan si suami menikahinya bukan kerana itu. Saban hari mukanya bertepek dengan bedak sejuk dan tubuhnya bersarung baju kelawar. Hambar..

Jika lelaki, dia biarkan diri selekeh dan sentiasa berkemban di dalam kain pelekat dan baju pagoda, membiarkan bau peluh jantannya tidak berbasuh, kerana semua itu tiada kena mengena dengan agama.

Jadilah agama, sebagai alasan untuk sebuah rumahtangga itu menjadi rumahtangga terhodoh, terburuk dan terselekeh... atas nama berkahwin kerana beragama.

[source: iluvislam.com]