Tuesday, June 05, 2012

Didikan ini Demi CINTA

Kalau ditanyakan kepada orang tua, bilakah masanya dalam takah kehidupan ini mereka rasakan terlalu banyak melakukan kesalahan dan kesilapan?
Nescaya mereka menjawab, "semasa kami masih muda." Ya, bila seorang tua menoleh ke belakang, terasa begitu banyak perkara yang sepatutnya dibuat semasa muda, tidak dibuat. Sebaliknya banyak pula perkara yang tidak sepatut dibuat, telah dibuat.
Sayangnya, kebanyakan orang muda tidak menyedari hakikat ini sehinggalah mereka  sendiri meningkat tua. Lalu atas kealpaan itu mereka akan mengulangi kesalahan yang pernah dilakukan oleh bapa, datuk dan moyang mereka pada zaman mudanya.
Pendek kata, ramai manusia lambat belajar di 'universiti kehidupan' ini. 'Kurikulum' pelajaran yang sepatutnya telah difahami di peringkat muda baru difahaminya hanya apabila kita meningkat tua.
Alam adalah sebuah 'universiti' yang luas dan besar. Setiap manusia adalah para pelajarnya. Dan manusia terpaksa belajar berterusan. Hidup adalah satu siri pelajaran yang tersusun rapi untuk difahami dan dihayati sepanjang hayat. Mungkin ini juga termasuk dalam maksud "tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad."
Jika difahami, pelajaran-pelajaran ini akan memberi panduan dan suluh kehidupan untuk hidup yang lebih tenang dan bahagia. Tetapi sekiranya pelajaran ini gagal difahami, maka hidup akan huru-hara dan kita akan selalu menghadapi keadaan yang tidak menentu.
Kurikulum pelajaran ini pula tersusun mengikut tahap usia dan tempoh kedewasaan seseorang. Justeru, di peringkat muda ada 'pelajaran-pelajaran' tertentu yang perlu difahami benar-benar sebelum menghadapi usia dewasa yang jauh lebih mencabar. Apakah 'pelajaran-pelajaran' itu dan apakah cara sebaik-baiknya mempelajarinya?
Itulah salah satu persoalan penting yang mesti dijawab oleh setiap kita. Jangan sampai pelajaran yang sepatutnya 'selesai' pada usia muda terpaksa dibawa ke peringkat tua. Kalau begitu keadaannya maka rugilah. Samalah seperti pelajar universiti yang terpaksa 'refer'  atau 'repeat' akibat gagal dalam peperiksaan semester atau tahunan mereka.
Para remaja adalah kelompok manusia yang sedang melalui satu proses transisi. Mereka telah meninggalkan alam kanak-kanak tetapi belum mencapai alam dewasa. Tahap transisi ini tidak stabil. Umpama air (cecair) yang hendak bertukar menjadi wap (gas), maka molekul-molekulnya terlebih dahulu bergerak dengan cepat dan tidak menentu.
Keadaan itu samalah dengan remaja, pada tahap itu jiwa, akal, nafsu, emosi dan lain-lain elemen-elemen dalaman mereka sedang bergolak. Takah usia ini paling tidak stabil – tercari-cari identiti diri, krisis pemikiran, ingin mencuba, perubahan biologi dan macam-macam lagi.
Dan di tahap ini juga para remaja akan menemui pelbagai situasi dan kondisi – suka dan duka, kejayaan dan kegagalan, permusuhan dan kasih-sayang, sempadan dan teladan. Muncul pelbagai individu dalam hidup mereka dengan pelbagai kelakuan dan sikap. Terjadi bermacam-macam peristiwa dengan membawa pelbagai kesan.
Sesungguhnya semua itu tidak berlaku sia-sia melainkan ada 'pelajaran' yang dibawanya untuk difahami dan dihayati. Para remaja (malah orang tua sekalipun) mesti dapat membaca 'mesej' yang dibawa oleh setiap peristiwa, individu dan keadaan yang berlaku ke atas kita. Jika tidak, kita terpaksa mengulangi pelajaran itu berkali-kali.
Sebab itulah dalam pengalaman kita, sering  kita temui orang tertentu yang sentiasa berdepan dengan masalah yang sama. Abu misalnya, akan sentiasa 'pokai' setiap pertengahan bulan dan sentiasa merungut duitnya tidak cukup. Minah, sudah lima kali ditinggalkan kekasih dan mengeluh tidak ada lelaki yang benar-benar memahami perasaannya.  Joe pula, telah tujuh kali jatuh motor dan marah-marah tentang nasib malang yang sedang menimpanya.
Anehnya mengapa Mat tidak mengalami masalah 'pokai' seperti yang selalui dialami Abu. Bedah tidak seperti Minah, dia telah pun bertunang dengan lelaki yang pertama dikenalinya? Manakala Samad, cuma sekali sahaja jatuh motor dalam hidupnya dan sekarang sedang selesa memandu Perodua yang baru dibelinya... Apakah yang menyebabkan keadaan atau nasib mereka berbeza?
Bezanya ialah ada diantara para kita yang cepat belajar dengan hidup sebaliknya ada di antara mereka yang tidak pernah atau lambat belajar. Yang belajar, akan 'naik kelas' dan layak untuk mengambil mata pelajaran baru yang lebih tingkat dan martabatnya. Yang tidak belajar, terpaksa mengambil mata pelajaran yang sama berkali-kali.
Abu, contoh kita tadi, tidak pernah belajar bagaimana mengurangkan perbelanjaan berbanding pendapatan... dan dia akan mengalami masalah yang sama walaupun kiranya nanti ia menjawat jawatan yang tinggi dan bergaji besar. Manakala Minah, tidak cuba mengenali kelemahan dirinya sendiri sebagai seorang wanita justeru dia sering menemui lelaki yang tidak sepatutnya dia temui.
Jadi langkah pertama supaya kita 'lulus' dalam pelajaran hidup ialah  kita perlu akur bahawa setiap yang berlaku di dalam kehidupan ada unsur pengajaran dan didikan buat kita. Setiap peristiwa, pahit atau manis, setiap individu, baik atau buruk – hakikatnya adalah 'guru' yang mengajar kita. Dan setiap guru itu mengajar sesuatu yang baik, walaupun kadangkala kelihatan pahit, pedih dan sakit kita menerimanya.
Untuk itu, apabila ditimpa sesuatu musibah atau menerima sesuatu nikmat, hendaklah ditanyakan pada diri sendiri, "apakah pelajaran yang di sebalik semua ini?" Pandanglah semua yang berlaku ke atas kita ada tujuan yang tertentu, maka barulah hidup kita sentiasa bertujuan. Kata ahli-ahli sufi, setiap yang berlaku dalam hidup ialah 'mehnah' – maksudnya didikan terus dari Allah.
Mereka berpendapat bahawa apa sahaja yang berlaku dalam hidup adalah ujian dan ujian itu hakikatnya adalah didikan terus daripada Allah. Ahli sufi menambah lagi bahawa jika manusia tidak mampu dididik melalui didikan terus dari Allah (mehnah) maka manusia tersebut tidak akan dapat dididik lagi oleh sesiapaun. Inilah yang ditegaskan oleh Ibnu Attoillah, seorang sufi yang terkenal dalam buku-buku karangannya.
Jika seorang datang membuat kita marah, maka dia adalah 'guru' yang hendak mengajar kita erti sabar. Jika kita selalu 'kesempitan' wang maka itu tandanya kita harus bersedia belajar erti berjimat cermat. Jika kita rasa kita sedang dikecewakan, itu menunjukkan kita sedang belajar untuk membina sikap tidak terlalu mengharap.
Begitulah seterusnya dalam apa jua situasi dan masa, kita hakikatnya sedang belajar dan dididik. Memang pada lahirnya, manusia, peristiwa dan kejadian yang sedang bertindak ke atas kita tetapi sedarilah hakikatnya semua itu adalah datang dari Allah. Semuanya berlaku dengan izin Allah, yang dengan itu DIA hendak mendidik kita. Maka terimalah didikan itu dengan baik kerana tujuanNya mendidik pun pasti baik.
Apakah sebenarnya yang menjadi 'tujuan' di sebalik 'pelajaran-pelajaran' yang datang  dan pergi dalam hidup kita? Tujuan utama pelajaran dalam hidup ini adalah untuk mengubah kita ke arah yang lebih. Perubahan tidak dapat dielakkan justeru   hidup ini sendiri adalah satu proses perubahan yang berterusan.
Sudah menjadi sunatullah (peraturan Allah) yang tidak berubah dalam hidup ini adalah perubahan itu sendiri. Perubahan sentiasa berlaku dan ia diluar kawalan manusia. Kita akan kalah jika kita tidak berubah. Jadi, berubahlah mengikut haluan dan kawalan kita sendiri. Jika tidak, kita juga terpaksa berbuah, mengikut kawalan orang lain atau keadaan sekeliling.
Manusia umpama nakhoda yang belayar di lautan. Sebagai nakhoda kita punya arah dan destinasi tersendiri. Tetapi tiupan angin, pukulan gelombang dan cuaca tidak selalunya menyebelahi kita. Kekadang arah pelayaran kita ke utara tetapi angin bertiup ke selatan. Kita akan tersasar dari destinasi jika menurut sahaja tiupan angin.
Sebaliknya kita akan patah, jika  terus berkeras menentang tiupannya. Jadi, apakah kita menjadi 'Pak Turut' yang terpesong tanpa prinsip dan haluan? Atau bersikap keras, rigid dan akhirnya patah kerana kedegilan melawan gelombang?
Sehubungan itu, bijak pandai pernah berkata, "we can't direct the wind but we can adjust our sail." Ertinya, walaupun kita tidak boleh menentukan takdir  yang menimpa tetapi kita diberi kuasa oleh-Nya untuk mentadbir diri kita. Inilah kelebihan manusia, sebagai khalifah.
Kita diamanahkan untuk mentadbir pendengaran, sentuhan, penglihatan, penciuman, penglihatan, fikiran, emosi, hati dan tindakan kita dalam lingkungan takdir-Nya. Oleh itu, dengan segala kuasa dan kelebihan yang ada, kita perlu berubah mengikut arah dan bentuk yang kita pilih dengan izin Allah jua.
Malangnya, ramai manusia yang tidak suka berubah. Ada kita bersikap 'selamba' dan 'relaks' dengan apa sahaja yang berlaku termasuk perubahan yang berlaku pada diri dan sekeliling mereka. Mengapa? Sebab perubahan ertinya hijrah atau berpindah. Setiap hijrah dan berpindah itu menagih kesusahan. Maksudnya, orang yang berhijrah terpaksa meninggalkan zon keselesaan (comfort zone) untuk menuju zon cabaran (courage zone).
Misalnya, anak kecil yang hendak berpindah dari tahap merangkak ke tahap berjalan, tentu terpaksa bertatih-tatih, jatuh bangun, jatuh dan terpaksa mengalami calar-calar dan sebagainya. Namun segala-galanya terpaksa dihadapi demi membolehkan dia berjalan. Apa akan jadi kalau ada anak kecil yang terus selesa merangkak dan tidak mahu belajar berjalan kerana takut cabaran? Tentulah tidak ada perkembangan dalam hidup. Maka begitulah para kita, dengan ujian mereka dituntut supaya berubah, jika tidak mereka tidak akan mencapai tahap kematangan untuk berjaya dalam hidup!
Rengkasnya, pelajaran dalam hidup datang bersama tuntutan perubahan. Jika sudah berkali-kali pelajaran disampaikan, tetapi masih tidak ada perubahan, maka itu bermakna kita gagal dalam peperikasaan di universiti kehidupan kita. Apa yang menghalang kita berubah?
Salah satunya ialah keinginan untuk melihat orang lain, keadaan atau peristiwa di luar diri kita terlebih dahulu berubah. "Aku boleh jadi baik, jika guru dan ibu-bapaku melayanku dengan baik," begitu selalu yang kita dengar. "Kedudukan kewanganku boleh stabil, jika pendapatanku bertambah," kata sesetengah yang lain. "Jikalau aku mengenali seorang lelaki yang beriman, aku akan menjadi isteri yang solehah." "Kalau motorku dari jenis yang mahal, tentu aku tidak terlibat dengan accident lagi!"
Begitulah suara-suara kelohan dan harapan yang selalu diluahkan oleh hati kita. Semuanya, mengharapkan keadaan, individu lain dan peristiwa berubah – barulah kita mahu dan mampu berubah. Sedangkan hukum perubahan tidaklah begitu. Kita mesti berubah dulu, barulah keadaan, peristiwa dan individu lain berubah akibat perubahan kita.
Guru dan ibu-bapa akan melayan kita dengan baik, jika kita terlebih dahulu berusaha menjadi anak atau murid yang baik. Anda berjimat cermat dahulu, barulah kedudukan kewangan anda akan stabil. Anda jadi wanita solehah dahulu, barulah akan ada lelaki beriman yang akan melamar anda. Dan anda perlu baiki dan memandu motor 'buruk' anda dengan baik barulah anda tidak terlibat dengan 'accident' dan akhirnya layak untuk mendapat motor baru yang mahal harganya!
Ingat, setiap kali sesuatu menimpa kita, sama ada baik atau buruk... itu adalah pelajaran yang menuntut perubahan. Maka ubahlah diri kita selalu, ke arah yang baik, lebih baik dan cemerlang. Setiap detik, setiap ketika, ada sahaja peristiwa yang akan kita hadapi... maka belajarlah secara berterusan, dan berubahlah secara berterusan... Nanti kita akan mencapai kebaikan secara berterusan pula.
Jangan sekali-kali menangguhkan pelajaran, nanti anda akan menangguhkan perubahan dan akhirnya menangguhkan datangnya kebaikan. Belajarlah di universiti kehidupan semasa masih ada masa lagi, supaya kita tidak diburu penyesalan apabila tempoh pengajian tamat (mati).
Kata pepatah, "belajar sewaktu muda bagai melukis di atas batu, belajar sewaktu tua bagai melukis di atas air." Teringat kata Dale Carnargie, "jangan gergaji abuk kayu!" Dan itulah nasib orang tua yang tidak belajar semasa mudanya!
Buat diri ku dan diri mu, kuaklah tirai hari ini dan ingatkan diri... aku adalah pelajar di universiti kehidupan ini. Hari ini Allah pasti mengajar ku melalui perlakuan-perlakuan manusia lain kepada ku.  Dan aku mesti belajar dengan orang lain, kejadian, peristiwa itu – pahit atau manis.
Jika manis, Allah mengajarku erti syukur. Jika pahit, Allah mengajar ku erti sabar. Jika dikecewakan, aku sedang belajar hakikat tawakal. Bila cemas, Allah mengajar ku erti raja' (mengharap). Jika sedikit, Allah mengajar ku erti qanaah (berpada-pada). Ya Allah, lepaskan hati kami dari asbab-asbab ini, agar kami bebas dan tenang berpaut pada 'musabbabil asbab' (Penyebab segala sebab) – wajah MU ya Allah.
Pujuklah hati, katakan, didikan ini demi cinta-Nya jua.
[Sumber: Ustaz Pahrol Muhamad Juoi,  Artikel iluvislam.com]

Untuk Dia

ku yang patut, yang patut…
Memberinya segala
Kerna aku mampu, ya aku mampu…
Melakukan apa-apa saja
Untuk dia (hey!) 6x
Untuk dia…

Dia penuh gaya, semuapun nak bayar
Memang selalu belanja
Mungkin anak orang kaya
Kadang kala pabila
Dia ke Singapura
Tak duduk rumah saudara
Dia inginkan Shangrila

Bertemu di Facebook
Beberapa hari kemudian
Mungkin aku comel kot
Ajak ku jumpanya di Indo
Ya, Indo…
Oh lupa bilang gadis ni Indo

Tak cakap kosong dia memang begini
Akhirnya dapat tahu dia punyai lelaki
Lelakinya pula kan bawa Mercedez
Apa saja dia minta dia memberi tetapi

Chorus

Jangan takut jangan kau segan…
(kau lelaki jangan lupa)
Pasti iri hati lihat mereka berpimpin tangan
(pasti geram)

Dia segalanya dengan segalanya yang diinginkannya
Jangan putus asa tapi jangan jahat pula
Kalau ingin putuskan hubungan mereka
Lupakan sudah Sekarang juga

Takkan pula kubuat begitu
Dia tak buta dan dia tak begitu
Dia baik hati, lakinya yang sombong
Kalau niatku jahat, buat apa ku minta tolong kan
Sekarang situasinya semakin hangat
Semakin hebat, ini yang kusuka bangat
Rela kumenunggu walaupun berapa minggu
Ataupun tahun atau bilapun terpaksa menahan rindu
Kerna kutahu, kerna kupercaya bahaw

something u don't realize...


Kekurangan itu kelebihan..

"Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah nikmat-Ku kepadamu, dan jika kamu mengingkari nikmat-Ku, maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih" (QS. Ibrahim [14]:7).
kebiasaannya, bila kita di kurniakan nikmat, rezeki, kegembiraan mahupun kelebihan, apa yang kita akan lakukan??
BERSYUKUR!
ya, itulah yang seharusnya. tapi...bagaimana pula kalau kita di berikan kekurangan. kecacatan, kemiskinan, kedukaan dan ujian. berapa ramai yang bersyukur? tepuk dada, tanya iman?
saya pasti mungkin hanya segelintir di antara kita yang bersyukur bila ditimpakan ujian. mungkin dalam 100% hanya  5% yang bersyukur dan berlapang dada bila ditimpa ujian.
Sedarkah kamu? beruntunglah bagi mereka yang selalu bersyukur dan sabar. Banyak kelebihan yang di berikan oleh Allah SWT kepada mereka yang bersyukur dan sabar dengan ujian yang diturunkan.
fiman Allah:
"Mereka yang sabar dalam musibah, kemiskinan dan ketika peperangan. Merekalah orang-orang yang benar dan merekalah orang-orang yang bertakwa - memelihara dirinya dari kejahatan". (QS Al Baqarah : 177).
saya pasti kalian mesti pernah dengar kata kata ini:
"after every storm there is a rainbow"
Walau apa juga ujian yang diturunkan kuatkan semangat dan azamkan tekad. yakinlah dengan janji tuhan.
Biar kita miskin, biar kita buruk, biar kita cacat asal hidup mendapat berkat.
Fikrkan setiap kekurangan yang diberikan pasti ada kelebihan yang diberikan. begitu juga sebaliknya. setiap kelebihan itu pasti ada kekurangan kerana kita memang di ciptakan lemah dan tidak sempurna.
Ingan kekurangan itu hebat. jangan pernah rasa rendah diri dengan kekurangan diri. kerana percayalah, setiap yang Allah kurniakan mempunyai kelebihan dan keberkatan tertentu.
ingatlah, Tuhan menciptakan manusia dengan segala kelebihan dan kekurangan. hikmahnya, agar manusia itu hidup bersama dan tidak mementingkan diri sendiri dengan cara saling lengkap melengkapi. macam yang kaya membantu yang miskin, yang sihat membantu yang sakit dan begitulah sebaliknya.
Ingatlah langit tidak selalu cerah dan kita tidak selalu di atas. janganlah kita mencaci kekurangan seseorang itu kerana mungkin suatu hari kita memerlukan sesuatu yang kita tidak ada daripada orang yang kita pernah hina dulu.
kekurangan di dalam hidup kita bukanlah pengakhir dan penghujung dunia. sebaliknya besyukurlah. kerana suatu saat nanti pasti akan datang seseorang melengkapi kekurangan kita dengan kelebihannya. jangan pernah berputus harap dan teruskan berdoa.
dan ingatlah,setiap kekurangan yang kita memiliki yang merupakan kelebihan yang tidak ada pada orang lain. bukan semua orang dapat memiliki kekurangan yang kita ada. bukankah kekurangan dan ujiaan itu satu bentuk dan tanda sayangnya Allah kepada kita?
renung renungkan.
Jadikanlah kekurangan yang kita miliki itu sebagai sumber kekuatan, simbol kehebatan dan bukanlah sesuatu yang menghancurkan. bersyukurlah dengan setiap kurniaanya. kebaikan mahupun keburukan. 
"Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar." [Al Anfaal:46]
sebagai kesimpulannya, marilah kita memanjatkan rasa syukur dengan setiap kurniaanNya.
nota: bersyukur dengan segala yang ada pada diri kita. Tuhan hanya menginginkan ciptaannya selalu menjadi insan yang baik dengan ujian kelebihan dan kekurangan itu. dan selalu peduli antara satu sama yang lain dengan cara saling melengkapi kerana kerjasama itu akan menjadikan kita insan yang bersyukur dan menciptakan kebahagiaan yang tidak dapat digantikan dengan apa pun. indahnya nikmat syukur dan sabar.
"saling berpesan-pesan kepada kebaikan dan kesabaran."
[sumber: iluvislam.com]

Hidup Tenang Tanpa Bebanan Hutang


Berhutang itu bukanlah amalan yang sihat untuk diteruskan jika kita tidak mempunyai sebarang rancangan yang konkrit untuk menyelesaikannya.
Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud:
"Barangsiapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun barangsiapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah pun akan merugikannya" ( Hadith riwayat Al-Bukhari, 2/83 )
Juga Baginda saw pernah bersabda yang bermaksud:-
"Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari dosa dan hutang, lalu Baginda ditanya : Mengapa engkau sering meminta perlindungan dari hutang, wahai Rasulullah? ; Baginda menjawab : " Jika seseorang berhutang, bila berbicara ia dusta, bila berjanji ia mengingkari." ( Hadith riwayat Al-Bukhari, 1/214)
Bagaimanakah bebanan hutang boleh kita atasi ?

1-Rancang kewangan peribadi dan keluarga dengan sebaik mungkin
2-Elak berbelanja dengan perbelanjaan yang melebihi pendapatan
3-Hindari berhutang melainkan sekiranya terpaksa
4-Buat perancangan pembayaran sekiranya terpaksa berhutang
5-Libatkan saksi dalam proses peminjaman
6-Pelajari dan berusaha dengan kaedah mendapatkan pendapatan sampingan
7-Hidup bersederhana dan jangan ikut masyarakat sekeliling
8-Lazimkan berdoa agar dijauhi bebanan hutang

"Ya Allah aku berlindung dari kesusahan dan kedukaan, dari lemah kemahuan dan rasa malas, dari sifat pengecut dan bakhil, dan aku berlindung denganMu dari bebanan hutang dan kezaliman manusia."

Jom, rancang kewangan agar bahagia dunia akhirat.

Sumber - Artikel iluvislam.com

Pengurusan Masa: 8 Tips Mengelakkan Penangguhan

Masalah bertangguh atau dalam Bahasa Inggerisnya 'procastination' merupakan satu ancaman kronik bagi ramai umat Islam di Malaysia mahupun seluruh dunia.
Oleh kerana terbiasa dengan sikap bertangguh, sesuatu matlamat atau tujuan itu sukar untuk direalisasikan dengan sempurna dan cemerlang.  Berikut kami kongsikan tips untuk mengatasi masalah ini.

1. Kenal pasti sebab penangguhan sesuatu tugasan
Tanya kepada diri anda, adakah anda takut akan gagal dalam tugasan tersebut? Ataupun, anda seorang yang mementingkan kesempurnaan yang hanya akan memulakan kerja setelah semuanya selesai? Ataupun anda seorang yang mudah terganggu dan tidak fokus dalam melangsaikan sesuatu tugasan?

2. Kenal pasti tugasan anda dan bahagikannya kepada tugasan yang lebih kecil
Satu tips motivasi pernah dikongsikan, untuk makan seeokor gajah, caranya adalah dengan memotong daging gajah itu kepada ketulan kecil daging.

3. Letakkan tarikh akhir untuk tugasan anda
Cuba berikan tarikh dan masa untuk sesebuah tugasan. Contohnya, anda meletakkan matlamat untuk menghabiskan membaca sebuah buku dalam masa 1 minggu.

4. Bekerja dalam blok masa yang kecil tetapi kerap daripada bekerja dalam satu blok yang mengambil masa yang panjang
Contohnya apabila belajar, rehatlah sebentar selama 10 minit untuk setiap 1 jam atau 30 minit setelah belajar selama 2 jam.

5. Mulakan dengan tugasan yang mudah dulu
Ini bertujuan untuk memberi momentum kepada anda untuk bergerak. Hal lain seterusnya akan menjadi mudah kerana momentum yang sedia ada.

6.  Mulakan dengan tugasan yang anda rasa sukar
Ini bercanggah dengan tips 6. Manfaat tips ini adalah untuk memberikan psikologi kelegaan kepada anda. Selepas anda berjaya menyelesaikan sesuatu tugasan yang sukar, anda akan merasa sangat selesa kerana merasakan sebuah beban telah berjaya dialih. Tips ini memberi kepuasan kepada diri.

7. Memberitahu orang lain tentang tugasan anda
Contohnya, anda memberitahu kepada orang lain bahawa anda akan menyiapkan sesuatu tugasan dalam tempoh yang ditetapkan. Ini akan menimbulkan rasa tanggungjawab di dalam diri anda untuk melunaskan tugasan tersebut.

8. Elakkan berada di tempat yang mampu mengganggu anda
Contohnya anda boleh memilih untuk belajar di perpustakaan atau tempat lain yang lebih sunyi jika anda bimbang anda akan leka dengan internet.

[Sumber:  iluvislam.com]

5 Punca Mata Anda Cepat Letih

Mungkin sebelum ini anda sendiri tidak sedar apakah punca-punca yang menyebabkan mata anda cepat berasa letih dan penat.

Antaranya ialah:-

1.Terlalu fokus
Apabila anda melakukan sesuatu terlalu fokus seperti membaca, memandu atau melihat paparan skrin komputer, otot mata anda sebenarnya akan bekerja lebih keras. Ini akan menyebabkan mata anda akan cepat berasa letih dan mengantuk. Rehatkan mata anda sebentar seperti melihat tumbuhan hijau sebelum kembali menyambung tugasan.

2.Masalah mata
Mata anda cepat berasa letih berkemungkinan juga disebabkan oleh mata anda sendiri yang mempunyai masalah. Mata yang mempunyai masalah kebiasaannya perlu bekerja lebih kuat daripada kebiasaan. Anda dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat daripada pakar.

3.Sistem pencahayaan yang tidak baik
Sistem pencahayaan yang terlalu banyak atau terlalu sedikit akan menyebabkan otot 'sphincter' dan 'dilatory' untuk bekerja secara berlebihan. Ini akan menyebabkan mata anda akan berasa cepat letih.

4.Bekerja lebih masa
Ramai yang beranggapan bahawa cara terbaik untuk merehatkan mata adalah dengan menonton tv, membuka laman-laman sosial, melayari internet, bermain telefon bimbit atau sebagainya. Tetapi ia sebenarnya hanya akan menyebabkan mata anda untuk bekerja lebih masa.

5.Jarang berkelip
Tahukah anda bahawa seseorang yang kurang kadar kelipan matanya akan meyebabkan mata mereka kekeringan. Disebabkan faktor ini anda dinasihatkan untuk tidak terlalu fokus melakukan sesuatu tugasan secara berterusan. Rehatkan mata anda sebentar pada setiap jam ketika anda melakukan tugas.

Sumber- Artikel iluvislam.com

Bekerja Tanpa Meninggalkan Tuntutan Agama

Setiap hari kita bertungkus lumus mencari rezeki bagi memenuhi keperluan hidup seharian. Ada yang bekerja bagi memenuhi keperluan asas. Ada yang bertungkus lumus bekerja untuk menikmati kesenangan dan kemewahan hidup.
Anda merupakan golongan yang mana? Sudah tentu anda tahu jawapannya. Dalam kesibukan mencari rezeki dan mengejar kemewahan, jangan kita alpa dan lalai dari mengingati-Nya, jangan kita lupa tuntutan yang lebih utama iaitu mengerjakan perintah agama dan mengejar kemewahan di akhirat kelak. Inilah tujuan utama manusia dihidupkan di muka bumi Allah SWT.  Berikut adalah beberapa tips untuk bekerja tanpa meninggalkan tuntutan agama:
1) Memasang niat yang baik
• Keluar mencari rezeki untuk menyara diri dan keluarga kerana Allah SWT. Hati akan menjadi tenang sepanjang waktu bekerja jika dimulai dengan niat yang baik dan semata-mata kerana-Nya. Firman Allah SWT dalam Surah Al-An'am ayat 162 yang bermaksud:
"Katakanlah Muhammad, "Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah Tuhan seluruh alam."
• Sesungguhnya adalah menjadi rugi sekiranya kita keluar bekerja setiap hari mencari nafkah untuk isteri, anak-anak, dan keluarga  jika tidak berniat bekerja sebagai ibadah. Alangkah baiknya jia kita berniat keluar bekerja kerana Allah, kita pasti mendapat pahala sepanjang bekerja dan mendapat rezeki yang berkat.
2) Jujur dan amanah semasa bekerja
• Ini juga merangkumi penggunaan waktu bekerja. Kita hendaklah memaksimumkan waktu bekerja dengan sebaik-baiknya seperti mengelakkan diri kita keluar menikmati sarapan pagi dan makan tengahari yang terlalu lama. Bekerjalah dengan bersungguh-sungguh, jujur dan amanah agar kerja yang dilaksanakan selesai dan rezeki yang diterima diberkati.
• Bekerja dengan bersungguh-sungguh bermaksud melakukan kerja di tempat kerja sehabis baik. Orang yang gagal dalam melakukan kerja tidak akan berputus asa sekiranya ada kesungguhan semasa bekerja. Bekerjalah bersungguh-sungguh supaya kerja yang kita lakukan seharian akan memberi manfaat kepada orang lain. Orang yang baik adalah orang yang sentiasa memberi manfaat kepada orang lain.
 3) Membasahkan lidah dengan zikir dan doa semasa bekerja
• Ketika kita sibuk bekerja, pastikan dalam masa yang sama hati dan lidah juga turut seiring berzikir kepada Allah SWT. Perkara tidaklah susah untuk dilakukan, cuma ia perlu sentiasa diamalkan dan dibiasakan agar ia menjadi sebati dalam tindakan kita. Di samping itu, kita juga dituntut mengamalkan Solat Sunat Dhuha untuk memohon keberkatan dari-Nya dan mohon dimurahkan rezeki yang halal lagi baik.
 
4) Tidak melengahkan solat fardhu
• Solat fardhu merupakan salah satu daripada Rukun Islam dan merupakan tiang agama. Jika kita amati, terdapat sebilangan manusia yang terlalu sibuk bekerja sehingga tidak sedar waktu solat berlalu begitu sahaja bahkan yang lebih teruk lagi langsung tidak menunaikan solat fardhu. Mudah-mudahan kita tidak termasuk dalam golongan ini. Sesungguhnya, kita tidak boleh menunggu waktu lapang tetapi kita yang perlu melapangkan waktu untuk menunaikan tuntutan solat fardhu. Ingatlah, dalam kesibukan kita menjalankan tanggungjawab terhadap kerja dan memenuhi kehendak majikan, jangan sesekali ingkar dan lalai akan perintah-Nya. Sesungguhnya, Allah SWT adalah majikan kepada seluruh manusia.
 

5) Menggunakan gaji atau upah ke jalan yang baik
• Kita hendaklah membelanjakan gaji atau upah yang diterima dengan sebaik mungkin. Manfaatkanlah gaji atau upah yang diterima dengan bijak untuk menyara diri dan keluarga, membantu ibu bapa, membayar zakat dan simpanan di masa memerlukan. Di samping pastikan diri kita tidak lupa peruntukkan sebahagiannya untuk bersedekah kepada orang yang memerlukan dan ke jalan-jalan kebaikan. Sesungguhnya rezeki yang kita terima itu adalah milik Allah SWT dan Allah pasti akan memberikan ganjaran kepada setiap kebaikan yang kita lakukan, Firman Allah SWT dalam Surah An-Nisa' ayat 132 yang bermaksud :
"Dan kepunyaan Allah-lah apa yang di langit dan apa yang di bumi. Cukuplah Allah sebagai pemelihara."
Mudah-mudahan rezeki yang diterima akan menjadi halal lagi baik berkat usaha kita yang sentiasa bekerja tanpa meninggalkan tuntutan agama. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Barangsiapa yang melihat kemungkaran di depannya, maka ubahlah dengan tangannya, dan jika tiada kemampuan ubahlah dengan lidahnya, dan jika tiada kemampuan, ubahlah dengan hati, dan inilah selemah-lemah iman."
Semoga artikel ini dapat mengingatkan diri penulis dan semua pembaca untuk memperbaiki diri kita semasa melakukan kerja tanpa meninggalkan tuntutan agama.

Sumber - Artikel iluvislam.com