Wednesday, December 19, 2012

Monday, December 17, 2012

Inilah erti Bahagia

Secara mudah kebahagiaan itu ialah memiliki hati yang tenang dalam menghadapi apa jua ujian dalam kehidupan. Inilah erti bahagia yang sebenar selaras petunjuk Allah di dalam Al Quran. Firman Allah:
"Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang." (Surah Al-Ra'du 28)
Rasulullah S.A.W. juga telah bersabda:
"Bahawasanya di dalam tubuh badan manusia ada seketul daging. Apabila ia baik, baik pulalah seluruh badan, tetapi apabila ia rosak maka rosak pulalah seluruh badan. Ingatlah ia adalah hati." (Hadis riwayat Bukhari Muslim)
Rasulullah S.A.W bersabda lagi:
"Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda tetapi kekayaan itu sebenarnya ialah kaya hati."
Kaya hati bermaksud hati yang tenang, lapang dan merasa cukup dengan apa yang dimiliki – bersyukur dengan apa yang ada, sabar dengan apa yang tiada.
Oleh itu hati perlu dibersihkan serta dipulihara dan dipelihara "kesihatannya" agar lahir sifat-sifat mahmudah seperti amanah, sabar, syukur, qanaah, reda, pemaaf dan sebagainya. Kemuncak kebahagiaan ialah apabila hati seseorang mampu mendorong pemiliknya melakukan kebaikan dan menghindari kejahatan dan larangan yang ditentukan oleh Islam dengan mudah dan secara "auto pilot".

Zikrullah Yang Membawa Bahagia
Ketenangan itu dicapai melalui zikrullah. Zikrullah akan memberi ketenangan buat hati. Ketenangan hati itulah kebahagiaan sebenar. Tetapi kenapa ada orang yang berzikir tetapi hati tidak ataupun belum tenang?
Hati adalah sumber dari segala-galanya dalam hidup kita, agar kehidupan kita baik dan benar, maka kita perlu menjaga kebersihan hati kita. Jangan sampai hati kita kotori dengan hal-hal yang dapat merosak kehidupan kita apalagi sampai merosak kebahagiaan hidup kita di dunia ini dan di akhirat nanti.
Ingatlah, untuk menjaga kebersihan hati, (selain berzikir) kita perlu menjaga penglihatan, pendengaran, fikiran, ucapan kita dari hal-hal yang dilarang oleh Allah SWT. Dengan menjaga hal-hal tersebut kita dapat menjaga kebersihan hati kita. Dengan hati yang bersih kita gapai kebahagiaan dunia dan akhirat.  Jadi berhati-hatilah menjaga hati kerana ia adalah punca ketenangan dan kebahagiaan diri!
Kita harus melatih hati kita supaya sentiasa berniat baik dan inginkan sesuatu yang baik. Sentiasa riang, gembira dan tenang dengan setiap pekerjaan yang dilakukan. Sentiasa melakukan kerja amal, tolong menolong, bergotong royong, sentiasa bercakap benar, sopan dan hidup dengan berkasih sayang antara satu dengan lain.
Marilah kita bersihkan hati kita dari segala kotorannya dengan memperbanyak mendekatkan diri kepada Allah SWT dan memperbanyak doa agar Allah SWT mengurniakan kita hati yang bersih dan selalu dekat dengan-Nya. Itulah beberapa hal yang mungkin dapat kita jadikan landasan untuk mencari kebahagiaan hidup di dunia ini dan juga sebagai bekal untuk menghadapi kehidupan akhirat nanti.
Sebenarnya kebahagiaan hidup yang hakiki dan ketenangan hanya didapatkan dalam agama Islam yang mulia ini. Sehingga yang dapat hidup bahagia dalam erti yang sebenarnya hanyalah orang-orang yang berpegang teguh dengan agama.
[sumber: iluvislam.com ~ Ustaz Pahrol Mohd. Juoi]

Tentang Cinta..


Bahagia Tidak Semestinya Kaya

Kekayaan harta-benda tidak menjamin kebahagiaan sepenuhnya. Bahagia dengan kemewahan tidak menjamin kehidupan di dunia dan akhirat jika kita tidak meletakkan Allah sebagai asasnya.
Bahagia dengan kekayaan bukanlah segala-galanya kalau tidak tahu untuk bersyukur kepada Allah yang sentiasa memberi nikmat tidak terhingga ini. Mungkin dengan kekayaan, di dunia kita akan bahagia, tapi tidak semestinya di akhirat juga akan bahagia, melainkan kekayaan itu diurus untuk pelaburan akhirat kerana Allah semata-mata, insyAllah ianya akan menjamin kebahagiaan kita di dunia juga di akhirat. Ini satu perkara penting yang telah saya pelajari sekarang.
Ingin bahagia tidak semestinya dapat jelajah satu dunia... tidak semestinya setiap semester dapat Dean List atau dekan dan graduan kelas pertama.. Ya betul, memang semua orang akan merasa gembira jika memiliki hidup seperti itu. Fitrahnya manusia akan merasa gembira dan bahagia apabila mendapat kebaikan, kenikmatan namun kita juga perlu memikirkan bahawasanya, apa yang kita inginkan tidak semua akan kita miliki. Itulah hakikat sebuah kehidupan.
Walaubagaimana pun, jika tidak dapat apa yang kita inginkan, tidak semestinya hidup kita tidak bahagia. Tidak perlu merasa kurang sehingga memprotes apa yang ada di hdapan kita. Tidak semua orang yang kita lihat kaya raya, punya wang berjuta itu hidup bahagia. Kita tidak tahu masalah dalam hidup mereka. Mungkin masalah yang mereka hadapi lebih teruk dari kita. Dan tanpa kita sedar, kadang-kadang kehidupan mereka lebih derita berbanding kita.
Maka bersyukurlah dengan apa yang ada. Merasa bahagia itu letaknya di hati. Dan bahagia itu hanya akan dapat di miliki apabila merasa ada walau pun tiada. Merasa bahagia walau pun terasa derita. Segala kekurangan yang ada di depan mata tidak sedikit pun memberi ruang kepada hati merasa kurang. Apa jua yang ada di raih dengan qanaah dan redha seadanya.
Adakalanya, ada juga orang kaya yang hidupnya bahagia tapi kekayaan yang dimiliki itu hasil dari rasuah, rezekinya melimpah ruah tetapi tiada berkatnya disisi Allah SWT.  Walau pun dari jauh mungkin kita lihat dia tersenyum bahagia, namun jauh di sudut hatinya terasa kosong, suram dan jauh dari tenang. Tidak salah menjadi kaya, jutawan ternama. Islam juga menggalakkan umatnya untuk meraih kekayaan di dalam hidupnya kerana dengan kekayaan dapat melepaskan diri daripada meminta-minta. Bukankah Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; 
"Dari Hakim bin Hizam r.a., katanya aku ada mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Tangan di atas (yang memberi), lebih baik daripada tangan yang di bawah (yang menerima bantuan)"
(Hadis SahihRiwayat Imam Ahmad)
Bersyukurlah jika kekayaan itu menjadi milik kita. Namun, bagi yang diuji dengan kemiskinan, perlu disematkan di dalam hati bahawasanya kekayaan di dunia ini bukanlah bersifat hakiki. Harta yang dimiliki itu juga sebenarnya adalah sebuah ujian. Di uji samada mereka yang memilikinya akan bersyukur atau kufur dengan nikmat yang ada.
Demikianlah kebahagiaan di dunia ini hanya bersifat sementara. Hanya kebahagiaan di akhirat lah yang lebih bermakna. Esok lusa apabila dipanggil Allah SWT, kain kapan putih juga yang akan disarungkan ke badan kita sedangkan jika dinilai harganya semeter berapa ringgit sahaja. Tidak sebanding dengan harga pakaian yang sedang kita pakai sekarang.
Apabila bertemu dengan Allah, sudah tidak ada lagi baju yang mahal-mahal. Semua harta benda kita pula, akan kita tinggalkan begitu sahaja. Tidak akan di bawa bersama dan ianya akan diwariskan kepada anak dan cucu kita. Begitulah kekayaan yang ada, hanya akan setia bersama kita sepanjang kehidupan kita tetapi pada saat kematian, kekayaan itu juga akan meninggalkan kita.
Harta yang sebenar yang perlu di bawa hanyalah amalan dan sedekah jariah kita semasa di dunia. Namun, hakikat  inilah yang sebenar sering kali kita lupa. Lupa apabila nafsu hanya melihat pada kekayaan di dunia. Hati kita mati untuk lihat kekayaan yang sebenar yang perlu di cari sebagai tiket untuk ke syurga.
Kekayaan yang sebenar ialah tidak lain adalah amalan atau kebaikan yang kita lakukan di dunia semata-mata kerana Allah. Kebaikan yang ada pahala didalamnya. Kekayaan yang perlu dicari ialah kaya dengan ilmu agama, ilmu yang akan membawa kita ke syurga. Sebagai manusia yang beragama Islam, kita tidak sedar yang kita kaya dengan Al-Quran dan hadis serta sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Namun, kita lupa untuk mengambilnya sebagai 'harta' sebagai pelaburan kita di dunia untuk kebahagiaan akhirat kita.
Fitrah manusia itu sendiri yang sering lupa, termasuklah diri saya sendiri. Kadang-kadang kita terlalu taksub dengan kebahagiaan di dunia hingga lupa kebahagiaan di akhirat. Ingin bahagia tidak semestinya perlu untuk sempurna semuanya, kerana kita sebagai manusia pun selamnya tidak akan sempurna sepenuhnya.
Cuba kita lihat,kadang-kadang mak cik yang jual nasi lemak di tepi jalan, lebih bahagia hidupnya dari 'businessman' yang sahamnya berjuta-juta. Ini kerana hidupnya sering mengutamakan Allah terlebih dahulu dari perkara lain. Walau sesusah mana pun, Allah mesti diutamakan dari yang lain.
Kebahagiaan sebenar yang dicari akan dapat apabila hati kita cinta kepada Allah melebihi segala-galanya. Itulah kebahagiaan yang sebenarnya. Tapi kita selalu melebih-lebihkan dunia dari Allah..Termasuklah diri saya yang sering alpa tentang perkara yang lebih penting.. Akan tetapi untuk mendapatkan kebahagiaan dari Allah juga tidak semestinya perlu beribadat 24 jam, tanpa melakukan apa-apa.
Allah meyuruh kita berusaha sendiri untuk dapatkan apa yang kita mahu. Dapat atau tidak,itu urusan Allah..Yang penting kita kena usaha dahulu dan bertawakal sepenuhnya kepada Allah. Itulah kehidupan yang sebenar. Perlu berusaha,usaha dan usaha sehingga berjaya akan apa yang dihajati. Jangan sesekali putus asa. Dan yang paling penting jangan lupakan Allah dan sentiasalah memohon doa kepadaNya.  Semoga kita lebih mengutamakan kebahagiannya di akhirat daripada kebahagiaan di dunia. 
[sumber:  www.iluvislam.com]

Tips Baitul Muslim