Monday, April 23, 2012

Anugerah Ilahi..

Di sebalik kelemahan kaum wanita, tersembunyi seribu satu rahsia yang Allah anugerahkan kepada makhluk ciptaan-NYA yang bertuah ini.  Anugerah itu tidak mampu diterjemah dengan kata-kata sebaliknya ia hanya mampu disingkap oleh wanita yang benar-benar melalui keperitan sebagai seorang muslimah sahaja. Mereka ini, bukan insan yang terpilih   ,sebaliknya mereka ini adalah wanita yang dijanjikan kemulian dan darjat yang tinggi di sisi Allah  hanya kerana kesetiaan kepada perintah sang pencipta. Siapakah Muslimah dimaksudkan?  Muslimah tidak pernah akan sama dengan wanita, biarpun dua perkataan " Muslimah" dan " wanita"  mempunyai maksud yang serupa tetapi hakikatnya ia berbeza. Dalam dunia ini bilangan wanita sentiasa melebihi  mengatasi  lelaki. Namun siapa sangka nisbah yang dikatakan besar itu hanya gah pada "angka" sahaja ,secara dasarnya tiada apa yang boleh dibanggakan.
Dalam Al-Quran Allah mengangkat darjah wanita dengan  berkali-kali menegaskan mengenai kewajipan dan  kesamaan  hak golongan bertuah ini. Malah terukir penuh sejarah golongan ini dalam suran " An-Nisa" yang bermaksud wanita.  Meskipun begitu, tidak ramai wanita yang menghargai pengiktirafan tertinggi oleh Allah kepada mereka sebaliknya mereka hanya  lebih gemar  membiarkan nilai diri yang sebenarnya terlalu berharga menjadi  harga diri yang susut nilainya.  Wanita yang menghiasi dirinya dengan sifat pemalu, kesopanan budi bicara, keindahan akhlak dan mahal harga diri tidak boleh ditandingi oleh wanita lain. Mereka ini sedaya upaya melengkapi kekurangan diri dengan tuntutan agama. Mereka tidak mudah melayani  segala rayuan mahupun pujian yang boleh meruntuhkan pendiriaan, tetapi terus utuh berpegang kepada prinsip agama sebagai bekalan menuntut janji dari Allah di akhirat kelak.  Mereka itulah muslimah.
  
Mahalkan harga dirimu
Arus permodenan yang semakin menghambat manusia kepada keduniaan, adalah pemusnah utama wanita . Lihat sahaja pada hari ini bertapa kemodenan yang kononnya menggambarkan kemajuan sebuah bangsa umpama pedang yang sentiasa menunggu mangsanya. Islam tidak pernah menolak kemodenan malah menyeru umatnya untuk sentiasa kehadapan dalam pelbagai perkara ,malangnya faktor ini tidak difahami secara mendalam oleh kebanyakkan kita.
Wanita abad ini seakan semakin hilang sifat malu seolah-olah menolak fitrah . Aurat mereka sengaja didedahkan untuk menjadi bahan bakar diakhirat kelak. Pergaulan mereka tidak lagi dipagari oleh batas-batas agama, apatah lagi mahu menjaga maruah diri, Semunya dianggap sebagai "kebebasan" , soal agama  pula  hanya dijadikan alasan sebagai kolot dan pembeban hidup.
Mencabar hukum yang telah ditetapkan Agama umpama sengaja menempah derita. Ungkapan sebegitu mungkin tidak keterlaluan untuk ditujukan kepada golongan wanita yang semakin ego mencabar Allah. Buktinya , kaum hawa semakin ligat  "memperjudikan" larangan-larangan agama tanpa segan silu mengulanginya.
Melahirkan anak luar nikah angkara sumbang mahram sudah menjadi kebiasaan , ia bukan perkara yang memeranjatkan . Menonjolkan "kecantikan" sehingga membelakangi batas syariat pula perkara biasa, maka tidak perlu hairan jika mendapat tahu wanita kian lebih kehadapan dalam serba serbi serbi tingkah laku, semuanya sudah  menjadi gaya hidup yang tidak mampu dipisahkan.
Platform terbaik untuk wanita islam menunjukkan taring mereka dapat di lihat di Institusi Pengajian tinggi . Perkara ini tidak boleh dinafikan lagi kerana ia benar-benar berlaku dalam kalangan wanita pada hari ini. Jika diteliti, sosial kaum wanita di universiti perlu dirawat segera. Saban hari, kegilaan mereka untuk menagih perhatian semakin melarat. Jika dahulu asalnya bertudung labuh kini telah disingkatkan, dari seorang yang biasa kini sudah memakai wangi-wangian, pergaulan tidak lagi dikawal,  malah berpeleseran berlainan jantina sudah dijadikan rutin harian.
Paling menyedihkan, kaum hawa terus membiarkan "imej" sebagai umat islam dicalari dengan ikutan budaya luar. Tidak ramai yang memelihara keistimewaan yang dikurniakan Allah  kepada mereka. Tatkala agama islam  sangat mengharapkan pemuda dan pemudinya menyuburkan kembali  hidup yang penuh dengan kelazatan bersyariat, umatnya pula seakan-akan sengaja mengabaikannya. Kesimpulannya , dimanakah tanggungjawab kita?

Cabaran  sebagai Muslimah
Menyusuri kehidupan sebagai seorang muslimah bukanlah indah seperti yang dijangka .Cabaran yang mereka lalui begitu getir, tidak mampu untuk ditafsirkan dengan kewarasan akal.  Namun di sebalik cabaran itu terselit 1001 keredhaan dan Rahmat dari-Nya. Mereka juga asalnya hanya wanita biasa di dunia ini, tetapi mengapa  coretan kisah mereka  sehingga terpahat dalam  al- quran? Mari kita selongkari perjalanan wanita-wanita pilihan Allah .
Mereka misalnya Siti Maryam yang hidupnya penuh zuhud dan taat beribadah kepada tuhannya. Suatu masa tanpa disangka-sangka Allah telah menguji wanita mulia ini dengan ujian yang hebat. Wanita syurga ini dikhabarkan oleh Malaikat bahawa dia bakal melahirkan anak yang cukup istimewa tanpa sentuhan dari seorang bapa.
Siti Maryam menyambut berita itu dengan hati yang penuh tawaduk  dan pasrah kepada sang pencipta .Biarpun sedar fitnah bakal menimpa dirinya , tetapi ia tidak dijadikan alasan untuk berpaling dari perintah Allah.  Tanpa sebarang perkahwinan mana mungkin bagi seorang putri melahirkan seorang anak , apatah lagi untuk insan sepertinya mempunyai hubungan yang mengundang dosa yang dimurkai Allah, tetapi bagi Siti Maryam Allah lebih mengetahui segala-galanya .
Tatkala mengabdikan diri dalam munajat dan ibadahnya, Siti Maryam menadah tangan menagih perhatian tuhannya, lalu berdoa,
"Tuhanku, apakah aku akan melahirkan seorang anak, sementara tidak ada seorang pun yang menyentuhku"?
Debaran semakin dirasai oleh Siti Maryam , Jiwanya menanti jawapan penuh harapan dari yang Esa. Maka Allah menjawab pertanyaan insan penuh istimewa ini melalui perantaraan malaikat-Nya,
"ALLAH menciptakan sesuatu yang diinginkan-NYA. Dan anak yang akan kamu lahirkan ini akan mempunyai keistimewaan. Dan di antara keistimewaannya adalahdia akan berkata kepada manusia ketika masih dalam buaian."
Perjalanan akhir wanita ini menyingkap seribu satu erti kesetiaan . Ya, inilah kesetiaan yang perlu ditanam dalam jiwa setiap dari kita untuk terus taat kepada Perintah Allah. Mengapa perlu kita terikut-ikut dengan budaya "kafir" yang meruntuhkan nilai  wanita islam? Dari soal pakaian sehinggalah aspek pergaulan, wanita islam di Malaysia khususnya  jelas jauh ketinggalan . Bukan ketinggalan kerana masih mengekalkan syariat islam, sebaliknya mereka semakin jauh dari fitrah asal kejadiaan iaitu sifat "malu" . Kerana hilang sifat inilah yang membuatkan islam kehilangan "aset" yang amat berharga. Generasi muslimah yang ditungu-tungu untuk mengibarkan semula sejarah "kehebatan" wanita yang diukir dalam Al-quran masih menyepi tanpa sebarang suara.

Tewas sekali lagi
Kepuasan jelas terpancar pada raut wajah musuh-musuh islam yang setia menanti kekalahan umat islam.  Kemenangan sudah pasti berpihak kepada mereka tatkala melihat wanita islam terikut-ikut dengan gaya hidup yang dianjurkan mereka . Status sebagai umat islam tidak lagi menggentarkan mereka , ia bukan lagi ancaman yang menggerunkan, sebaliknya musuh-musuh islam hanya tertawa melihat kepada "kebodohan" umat islam yang begitu mudah dipengaruhi. Sejarah tumbangnya kegemilangan islam pada zaman Turki Uthmaniah pada suatu ketika dahulu belum menyedarkan kita. Sejarah yang begitu perit untuk ditelan seakan mahu berulang lagi. Kali ini kita kecundang tanpa pertempuran, tetapi kecundang kerana tidak ada pendiriaan. Kita seolah-olah masyarakat yang begitu mudah untuk diperkotak-katik dan terus diperalatkan . Ironinya, jalan penyelesaian kemudharatan ini hanya dapat diselesaikan oleh mereka yang sanggup mengharungi  liku-liku hidup sebagai seorang muslimah.

Source- Artikel iluvislam.com

No comments: