Tuesday, May 10, 2011

Renungan 5: Hubungan tindakan manusia dengan kehendak masyi'ah Allah

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud:
Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat yang menjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya yang mengawas dan menjaganya (dari suatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada suatu kaum itu sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri) maka tiada siapa pun dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkannya itu dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripada-Nya. (Ar-Ra'd: 11)

Huraian:
Setiap manusia yang hidup di dunia ini sentiasa diawasi oleh malaikat-malaikat yang sentiasa mengawal pergerakan, perasaan dan emosi manusia. Allah sentiasa mengikuti jejak-jejak manusia dengan para malaikat mengawasi perubahan-perubahan yang dilakukan mereka terhadap diri dan keadaan hidup mereka.
Allah tidak akan mengubah sesuatu kemuliaan atau kehinaan melainkan apabila manusia itu sendiri mengubah perasaan, amalan-amalan dan realiti hidup mereka.
Itulah suatu hakikat yang meletakkan tanggungjawab yang berat ke atas manusia. Kehendak dan undang-undang Allah telah menetapkan bahawa masyi'ah Allah terhadap manusia adalah bergantung kepada tindakan mereka sendiri dan undang-undang Allah akan berlaku kepada mereka mengikut bagaimana cara mereka melayani undang-undang ini dengan tindak-tanduk mereka.
Nas ini cukup terang dan jelas mengenai hakikat ini. Nas ini juga bukti penghormatan Allah kepada manusia. Dalam pada itu, Allah SWT juga Maha berkuasa mengubah keadaan sesuatu kaum kepada keburukan kerana mereka mengubahkan keadaan diri mereka kepada keadaan yang lebih buruk lalu iradat ALlah bertindak menimpakan akibat yang buruk terhadap mereka.

[Sumber: Utusan Malaysia, Mega Agama m.s: 12; Selasa 10 Mei 2011]

No comments: