Kejayaan bukanlah suatu misteri
yang tidak terungkap. Malah sekiranya seseorang itu telah
melakukan sesuatu perkara maka orang lain pasti mampu
melakukannya juga. Kita mungkin tidak bercita-cita terlalu
tinggi seperti Datuk Azhar Mansor yang berlayar di lautan luas
seorang diri; atau seperti Datuk Abdul Malek yang berenang
merentasi Selat Inggeris; atau seperti Shalin Zulkifli yang
menjadi ratu bowling negara; atau seperti Yap Sui Lin yang
mendapat 16A dalam SPMnya.
Tetapi janganlah pula sekadar selesa dengan pencapaian yang
biasa hingga tiada apa yang boleh dibanggakan oleh kita atau
yang boleh diceritakan kepada anak cucu kita nanti.
Sekurang-kurangnya, kalau kita sebagai pekerja maka berusahalah
untuk menjadi pekerja yang cemerlang hingga menerima anugerah
dari majikan. Kalau kita seorang usahawan binalah empayar
perniagaan kita yang mampu diwarisi oleh anak cucu. Kalau kita
sebagai seorang pelajar belajarlah dan berusahalah hingga sampai
ke peringkat yang tertinggi.
Kejayaan bolehlah ditakrifkan sebagai pencapaian seseorang
menepati matlamat atau sasaran yang telah ditetapkan olehnya.
Oleh itu kejayaan adalah suatu bentuk yang subjektif dan relatif
dengan individu itu sendiri. Bagi seseorang usahawan,
memperolehi pendapatan RM10,000 sebulan itu adalah menepati
sasaran awalnya dan baginya ia adalah satu kejayaan. Tetapi
RM10,000 ini mungkin suatu kegagalan bagi usahawan yang pada
kebiasaannya mampu menjana pendapatan RM50,000 sebulan. Apabila
kita tiba ke matlamat yang telah ditetapkan kita mula rasa
selesa. Setelah beberapa ketika kita rasa tiada apa lagi yang
mencabar di tahap tersebut. Kalau kita terus berada dalam zon
selesa itu maka lambat laun kita akan gagal kerana orang lain
sudah semakin maju. Oleh itu perlu bagi kita setelah mencapai
satu sasaran, kemudiannya mencabar diri untuk maju ketahap yang
seterusnya pula. Berikut adalah beberapa langkah yang boleh
diambil untuk cabar diri bagi terus maju dalam kehidupan.
1. Letakkan Sasaran Yang Tinggi
Apabila satu matlamat dicapai maka teruslah menetapkan matlamat
baru yang lebih tinggi lagi. Misalnya, dulunya sebagai seorang
pelajar kita sering dapat nombor yang tercorot dalam kelas maka
letaklah matlamat untuk meletakkan nama kita dalam 10 pelajar
terbaik. Cabar diri untuk berusaha bersungguh-sungguh mencapai
sasaran itu. Kalau satu hari kita berjaya merealisasikannya,
maka mula letakkan sasaran baru untuk jadi pelajar nombor 1
pula. Kalau kita seorang usahawan maka letakkan sasaran untuk
mengembangkan perniagaan kita ke seluruh pelusuk negeri bukan
sekadar berniaga setempat sahaja. Kalau sasaran itu dicapai,
cabar diri dengan sasaran baru untuk mengembangkan perniagaan ke
seluruh negara dan tidak mustahil selepas itu sampai ke
peringkat antarabangsa pula. Sasaran yang tinggi ini sentiasa
membuatkan kita memandang ke depan. Hasilnya, tanpa kita sedari
kita semakin hari semakin maju dalam bidang yang kita ceburi
tersebut.
2. Cemburu Dengan Kejayaan Orang
Lain
Lihat mereka yang lebih berjaya dari kita. Kalau orang lain
boleh kita juga boleh. Untuk maju kita mesti cemburu dengan
kejayaan orang lain dan cabar diri kita untuk berusaha lebih
dari orang lain. Kalau kita tidak tahu bagaimana mahu
melakukannya maka belajarlah dari mereka yang telah berjaya.
Buka mulut dan bertanya. Jangan sekadar berdiam diri kerana
tiada apa yang berlaku kalau kita tidak bertindak. Baca
kisah-kisah kejayaan orang lain, hayati bagaimana mereka
menghadapi cabaran dan menyusuri liku-liku kepayahan sebelum
nama mereka tersohor. Sikap cemburu dengan kejayaan orang lain
ini mestilah ditanam untuk membentuk suatu persaingan yang sihat
bukannya cemburu yang membawa kepada sifat dengki dan irihati
yang membuatkan kita mengambil langkah-langkah buruk menjatuhkan
saingan kita.
Perasaan cemburu ini patut terbit lebih-lebih lagi apabila
mereka yang lebih lemah, lebih muda, dan kurang upaya dari kita
mampu mencapai satu pencapaian yang luar biasa.
Saudara Abdul Halim, seorang yang kudung kaki dan tangannya
tetapi boleh belajar masuk universiti, keluar sebagai akauntan,
buka syarikat sendiri dan pernah terima anugerah daripada PM
Malaysia. Tak cemburukah kita?
3. Elakkan Dari Sikap Cepat
Puashati
Sikap cepat berpuashati adalah penyakit yang menghalang diri
kita untuk terus berjaya. Apabila kita sudah meraih pendapatan
RM10,000 sebulan kita mula rasa selesa dan kita berkata, “Aku ni
kira oklah, berapa kerat sangat orang yang meraih pendapatan
lima angka sebulan. Sekurang-kurangnya dah ada rumah sendiri
berapa ramai lagi orang yang tidak mampu beli rumah. Kira ok lah
aku ni… ”. Sikap puashati beginilah yang membuatkan kita
berhenti untuk berusaha dan mencipta kejayaan yang lebih besar
lagi. Kenapa tidak kita ambil contoh orang yang lebih berjaya
dari kita? Kenapa sering membandingkan diri dengan orang yang
lemah dan kurang dari kita? Bandinglah dengan mereka yang lebih
berjaya, yang memiliki bangunan sendiri, yang menjadi jutawan,
yang berkereta mewah, yang memiliki rumah-rumah untuk disewakan
dan sebagainya maka barulah tercabar bahawa kita belum lagi OK!
Jadi, usah lagi berpuashati dengan pencapaian kita kerana setiap
kali kita berjaya maka kita pasti boleh pergi lebih jauh lagi.
4. Soal Diri Dengan Soalan
Positif
Untuk berjaya, soal diri dengan soalan-soalan yang positif.
Misalnya, soalan-soalan seperti berikut hanya membawa diri kita
untuk merasa lemah dan tidak berdaya:
Kenapalah aku gagal?
Mengapa nasib aku sentiasa malang?
Kenapalah orang semua tak suka aku?
Apalah nak jadi dengan aku ni?
Sebaliknya soalan-soalan berikut pula akan membuatkan kita
berfikir, mencabar diri dan membolehkan kita mengumpul kekuatan
untuk atasi setiap halangan.
Apa yang belum aku lakukan lagi?
Bagaimana aku nak tingkatkan 20% lagi pendapatan aku bulan
depan?
Apakah kelebihan diri aku yang belum aku bongkar lagi?
Dimana aku nak dapatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk
maju dalam bidang ini?
Siapa yang boleh bantu aku?
Jadi kita tidak berjaya kerana bertanyakan soalan yang salah
kepada diri kita. Oleh itu berhati-hatilah dengan suara hati.
Nilai betul-betul soalan yang kita tanyakan pada hati kita
adakah ia akan mencabar kita untuk terus maju atau hanya
melemahkan kita.
5. Tingkatkan ‘Standard’ Anda
Untuk berjaya kita kena cabar diri untuk tingkatkan ‘standard’
kita. Misalnya, kita berkata pada diri kita bahawa tidak
‘standard’lah untuk selama-lamanya jadi kerani, 5 tahun dari
sekarang mesti nak jadi pengurus pula. Tidak ‘standard’ lah
untuk selama-lamanya bekerja dengan orang, 10 tahun dari
sekarang mesti jadi bos pula. Tidak ‘standard’ lah
selama-lamanya dapat markah ‘C’, 3 bulan dari sekarang aku mesti
dapat ‘A’ pula. Tidak ‘standard’ lah asyik bawa kereta Jepun
aje, 5 tahun dari sekarang aku mesti nak bawa kereta Jerman
pula. Tidak ‘standard’ lah untuk berumah teres sahaja, 10 tahun
dari sekarang aku mesti nak ada rumah banglo pula.
Tujuannya bukan untuk menunjuk-nunjuk atau untuk takbur tetapi
untuk membuatkan kita mahu berusaha lebih gigih lagi demi
memenuhi tuntutan hidup kita yang mengikut ‘standard’ baru itu.
Lagi pula kita tidak melafazkan kata-kata itu kepada orang lain
tetapi kita tujukan kata-kata tersebut hanya kepada diri sendiri
sebagai satu bentuk cabaran.
Perlu diingatkan bahawa kita hanya boleh hidup dalam ‘standard’
yang lebih tinggi hanya setelah kita berjaya merealisasikan
pendapatan yang mampu menampung ‘standard’ tersebut. Jangan pula
menjadi orang yang papa asal bergaya.
Malah Islam sendiri tidak menghalang umatnya untuk hidup selesa
apabila punya kemampuan. Asal sahaja keselesaan itu tidak
menghalang kita untuk terus menjadikan hidup ini sebagai suatu
ibadah yang mengningkatkan lagi keimanan dan ketaqwaan kita.
Oleh itu, teruslah cabar diri untuk berjaya dalam hidup kita.
Source: Dr. Tengku Asmadi bin Tengku
Mohamad, Ph.D
(
Artikel ini telah dikeluarkan dalam Majalah
Cermin, Disember 2003)
No comments:
Post a Comment