Melihat kebahagiaan manusia lain dengan apa adanya pada diri kita itu
adalah sangat bahagia. Namun pada ketika melihat kebahagiaan orang lain
dengan diam-diam melihat segala kekurangan diri sendiri, itu adalah
muara segala kepedihan.
Di muara itu, pedih itu akan mengalir perlahan-lahan, lesu tapi pasti
ke hulu hati. Dan inilah kisahnya, kisah bagaimana saya akhirnya
menegadahkan wajah pada yang namanya bahagia yang pedih.
Tahun akhir.
Tahun terakhir di universiti menjadikan saya perempuan yang kurang
terkendali. Tugasan akhir perlu dihantar, harapan ibu bapa juga perlu
dijunjung, namun paling membuat saya terjerembap pada namanya pedih,
adalah kata-kata mitos yang entah siapa menciptanya.
Kata mereka, "Sekiranya kamu sudah berada pada tahun akhir, tetapi kamu belum punya buah hati, kamu akan sulit mencari jodoh."
Saya tahu itu mitos, namun tetap sahaja ia mengganggu hati pada
ketika mata mahu pejam. Ia seperti nyamuk yang lapar dan menyangka
telinga kita adalah tempat meluahkan rasa laparnya.
Saya cuba sabarkan diri, cuba penuhkan waktu dengan segala jenis
kesibukan yang saya tahu, namun tetap sahaja kata-kata mitos itu
berdatangan masuk ke dalam hati. Jelas, hati saya masih ada celah-celah
yang tidak saya ikat rapat-rapat, walaupun sudah segenap usaha saya
mencuba.
Bertanya juga saya dalam hati, "Mengapa tidak ada yang mengutuskan surat cinta?"
Untuk pertanyaan itu sering saya jawab dengan penuh rasa rendah diri, "Saya bukan perempuan yang cantik."
Yang bertambah merisaukan saya adalah pada hari itu, pada ketika saya
mahu menyedapkan hati, mahu berkata cinta sebelum nikah itu haram lalu
saya bertanya kepada teman sebilik saya yang tinggi ilmunya.
"Kamu tidak fikir cinta sebelum nikah itu haram?"
Dalam tersenyum dia menjawab, "Bercinta tidak haram, yang haram
adalah zina. Jadi sekiranya cinta kamu itu mendekatkan kamu kepada zina,
kamu boleh fikirkan sendiri hukumnya, dan kamu sendiri tahu menyusun
keutamaannya. Jangan salahkan cinta tetapi salahkan diri kamu sendiri.
Nabi Muhammad saw sendiri tidak membantah orang bercinta tetapi cinta
itu perlu berakhir dengan perkahwinan kerana hanya itu ubatnya cinta.
Seperti kisah seorang gadis yatim yang dipinang oleh dua lelaki.
Seorang miskin dan seorang kaya. Gadis tadi memilih lelaki miskin tadi
atas dasar cinta sedangkan penjaganya memilih lelaki kaya tadi. Apabila
perkara itu diajukan kepada Rasulullah, beliau bersabda, 'Aku tidak
melihat (penawar) untuk dua orang yang bercinta seperti nikah". Ini
hadis sahih riwayat al-Baihaqi dan Ibnu Majah."
Itu jawapan yang saya pegang bersama dengan runsing pada mitos yang
saya tidak tahu di mana benarnya. Mujur juga, teman sebilik saya yang
cantik, alim dan bijak itu tidak ada teman lelaki. Keadaan itu melegakan
hati saya kerana saya tahu, saya tidak sendiri.
Yang paling melegakan saya adalah bicaranya. Katanya, "Jodoh, mati
dan rezeki itu rahsia Allah. Yang namanya rahsia itu, sekiranya kita
cari pun betul, sekiranya kita menunggu pun tidak salah kerana ia
rahsia. Kita tidak tahu bila datangnya jodoh itu, sama ada ia datang
pada waktu kita mencari ataupun pada waktu kita menunggu. Apa yang boleh
kita lakukan adalah, lengkapkan diri kita menjadi perempuan yang baik.
Perempuan yang taat pada suruhan Allah. Kerana ada waktunya nanti, Allah
akan datangkan petunjuknya, sama ada kita perlu mencari ataupun kita
perlu menunggu."
Lalu berdoa sahajalah yang dapat saya lakukan, dan akhirnya, seperti
doa dalam diam saya dijawab Tuhan, dan pada hari itu saya menemukan
lelaki ini, lelaki yang membuatkan mitos itu kabur daripada hati saya.
Lelaki.
Dia rakan sekuliah, dan dia seorang yang sangat tekun belajar dan dia
cuma kalah tekunnya kepada rakan karibnya sendiri. Markah peperiksaan
dia tidak pernah gagal mendapat B ke atas. Pada wajah dia, semua sepakat
mengakui, jelas sinar kejayaan di situ. Saya juga melihat perkara itu
dan saya akui dalam tidak sedar, hati saya mula terpaut kepada dia.
Namun, perempuan tetaplah perempuan. Malu itu adalah perkara nombor
satu. Malahan dengan kacak wajah lelaki itu, saya sangat yakin,
setidak-tidaknya dia sudah punya kekasih yang akan diajaknya bernikah
usai menerima ijazah.
Itu yang saya yakin sehinggalah pada hari itu, selepas peperiksaan
terakhir, pada ketika di luar dewan peperiksaan masih riuh dengan gelak
tawa, dia datang kepada saya.
"Saya tidak pandai berkata-kata dan saya masih malu," ucap dia yang pertama, membuat saya terhairan-hairan.
"Jadi?"
"Begini, biar saya berterus-terang." Lelaki itu menggaru-garu dahinya
yang saya tahu tidak gatal, tetapi gaya itu membuatkan saya semakin
tertanya-tanya.
"Begini...." Pada ayat itu juga dia berhenti dan kembali tunduk.
Saya hanya melihat jam, dan apabila melihat saya begitu, wajahnya terlihat risau.
"Begini...."
"Apa yang begini?" soal saya segera.
"Begini, saya bertanya kepada ibu saya, bagaimana saya mahu mencari
perempuan yang baik untuk saya nikahi. Ibu saya menjawab, saya tidak
perlu risaukan berkenaan perkara itu. Perkara yang perlu saya risaukan
adalah diri saya sendiri. Saya perlu menjadi lelaki yang baik dan pada
ketika itu persoalan 'bagaimana mencari perempuan baik' akan selesai
dengan sendirinya," jelas dia panjang.
"Jadi?" soal saya lagi dengan hati yang sudah berdegup kencang.
"Jadi, saya fikir, dalam empat tahun di sini saya sudah berusaha
sebaik mungkin menjadi lelaki terbaik, dan saya fikir, lelaki yang baik
bukan lelaki yang sekadar menanti jodohnya, tetapi adalah lelaki yang
juga mencari, dan itulah yang saya mahu beritahu," jawab dia dengan
tergagap-gagap.
Mendengarkan itu pipi saya menjadi merah. Apa maksud dia? Mengapa
tiba-tiba dia berkata begitu kepada saya? Takkan dia.... Tiba-tiba saya
berasa saya menjadi perempuan yang sangat bertuah.
"Jadi, saya minta tolong awak, tolong hantarkan surat ini kepada
rakan sebilik awak," kata dia lalu menghulurkan surat bersampul biru
muda kepada saya, dan terus rasa bertuah saya hilang entah ke mana, dan
terus sahaja merah pipi saya bertambah hangat.
"Sebelum awak salah anggap, ia bukan surat cinta, tetapi ia adalah
surat izin mahu berjumpa ayahnya. Jadi saya harap awak tidak anggap saya
ini lelaki yang sekadar bermulut manis," jelas dia dengan
bersungguh-sungguh.
Saya tahu, pedih saya sudah bermula. Teman yang membuatkan saya
selesa itu juga sudah menerima surat cinta, dan saya? Tetapi saya tetap
bahagia kerana teman baik saya itu mendapatkan lelaki yang mendengar
kata-kata ibunya, lelaki yang cerah masa hadapannya. Saya bahagia tetapi
tetap sahaja ia bahagia yang pedih.
Lalu pada ketika saya memberikan surat sampul biru muda kepada teman
sebilik saya, dia berkata, "Sebenarnya, kamu juga mendapat surat yang
sama daripada rakan karib lelaki itu. Kamu sangat bertuah." Lantas dia
menghulurkan satu sampul surat putih kepada saya.
Pada sampul surat putih di tangan saya itu, saya tahu seperkara, apapun isinya, ia adalah petunjuk kepada rahsia jodoh saya.
[source: iluvislam. Penulis Cerpen: Bahrudin Bekri]
2 comments:
Siapa jodoh kita adalah rahsia Allah.. :)
setuju dik...
Post a Comment