Monday, August 22, 2011

Bagaimana untuk kita sabar menempuh ujian dalam kehidupan

Pertamanya kita mesti faham bahawa hidup kita ini akan sentiasa diuji. Sama ada kita suka atau tidak kita akan diuji juga, sesuai dengan Firman Allah S.w.t yang bermaksud: “Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (ujian) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam ujian) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?” Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.” (Surah AlBaqarah : Ayat 214)


Mengapa kita diuji? Firman Allah S.w.t, “Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun,” (Surah AlMulk : Ayat 2)

“Dan apa saja musibah yang menimpa kamu maka adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan sebahagian besar (dari kesalahan-kesalahanmu).” (Surah AsSyuura : Ayat 30)

Walaubagaimana pun, Allah amat menyintai orang-orang yang sabar menghadapi ujianNya. FirmanNya, “Dan berapa banyaknya nabi yang berperang bersama-sama mereka sejumlah besar dari pengikut (nya) yang bertakwa. Mereka tidak menjadi lemah kerana bencana yang menimpa mereka di jalan Allah, dan tidak lesu dan tidak (pula) menyerah (kepada musuh). Allah menyukai orang-orang yang sabar.” (Surah Aali Imran : Ayat 146)

Dan Allah Maha Adil dan Maha Penyayang, ujian-ujian yang diberiNya adalah mengikut kemampuan masing-masing insyaAllah. “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdo′a): “Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri ma′aflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir.” (Surah AlBaqarah : Ayat 286)

Kategori ujian berbeza pada manusia

Sabda Nabi Muhammad S.a.w, Ertinya : “Sesungguhnya seorang mukmin tercipta dalam keadaan Mufattan (penuh cubaan), Tawwab (senang bertaubat), dan Nassaa’ (suka lupa), (tetapi) apabila diingatkan ia segera ingat”. (Silsilah Hadits Shahih No. 2276).

Manusia tidak akan terlepas dari ujian dan cubaan di muka bumi ini. Ada yang diuji dengan ujian yang ringan dan ada yang diuji dengan ujian yang berat. Ada yang sabar menempuh ujian dan ada yang gagal mengawal emosinya lantas kecundang di dalam ujian tersebut. Lain manusia lain bentuk dan kategori ujiannya. Ada yang berat di mata seseorang itu tetapi ringan pula di mata orang lain, dan begitulah sebaliknya terpulang pada penerimaan dan tahap pemikiran masing-masing. Ini kerana manusia mempunyai pemikiran yang kompleks dan tidak sama 100% antara satu sama lain. Sedikit sebanyak akan berbeza juga di mana-mana.

Firman Allah yang bermaksud; “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya.” (Surah AlBaqarah : Ayat 286)

Ujian yang kita terima bergantung kepada tahap pemikiran dan keupayaan kita. Allah tidak membebankan kita dengan perkara-perkara di luar kemampuan kita jika kita sertai dengan keimanan yang jitu kepadaNya. Iman yang lemah boleh menyebabkan ujian yang ringan pun terasa berat. Keyakinan yang jitu kepada Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang akan terserlah lah kesabaran yang tinggi terhadap segala ujianNya insyaAllah. Ingatlah bahawa seorang mukmin itu tidak terlepas dari ujian dan cubaan, semakin tinggi iman kita maka semakin kuat kita akan diuji. Dan manusia yang paling tinggi dan kuat ujiannya adalah para nabi dan Nabi Muhammad S.a.w adalah yang paling tinggi diuji. Oleh kerana itulah kita sebagai umat Islam dianjurkan agar sentiasa berdoa agar kita menerima ujian setakat yang termampu oleh kita.

“Ujian yang paling berat adalah bagi para nabi, kemudian berikutnya dan berikutnya, seseorang diuji (oleh Allah) sesuai dengan kadar agamanya. Maka tidaklah musibah menimpa seseorang sehingga ia berjalan di atas bumi dan tidak ada dosa padanya.” (Hadith riwayat Bukhari)

Nabi ada menganjurkan agar umatnya bergaul dengan orang-orang miskin dan orang-orang susah. Dia sendiri pun biasa bergaul dengan orang-orang miskin dan susah walaupun dia seorang nabi yang dipandang mulia dan seorang pemerintah yang agung. Bergaul dengan orang-orang miskin dan susah akan membuatkan kita merasa betapa kita sudah mendapat banyak nikmat, memahami hati orang-orang miskin, tidak terlalu mengejar dunia, tidak hasad dengki dengan orang lain kerana sentiasa merasa diri ini cukup dan sebagainya. Hanya dengan kita melihat ke bawah barulah kita dapat merasa ketenangan yang sebenar. Kerana jika kita hanya bergaul dengan orang-orang kaya, mewah dan berpangkat, boleh menjadikan kita merasa iri hati, hasad dengki, ingin mengejar cita-cita menjadi kaya, hingga menyebabkan tiada ketenangan dalam diri. Ini bukanlah bermakna kita tidak boleh berkawan langsung dengan orang-orang kaya, tetapi jangan semata-mata berkawan dengan orang kaya. Perbanyakkanlah pergaulan dengan orang-orang miskin dan susah, insyaAllah kita akan merasa serba cukup (qana’ah).

Manusia mendapat kesusahan dan kemiskinan di dunia bukanlah bermakna Allah tidak sayang pada manusia itu. Semua itu adalah ujian Allah untuk menguji keimanan manusia. Maksud hadits, “Sesungguhnya makhluk yang sangat dikasihi oleh Allah ialah orang yang fakir miskin, sebab manusia yang amat dikasihi Allah ialah para nabi, maka Allah menguji mereka dengan kefakiran dan kemiskinan.” (Riwayat Abdullah bin Umar).

Sudah menjadi tabiat manusia yang lemah imannya, jika sekiranya dia diberikan kesenangan, dia merasakan yang Allah telah memuliakan dia di dunia ini, manakala jika dia diberikan kesusahan dan kesakitan, dia merasakan bahawa Allah telah menghinanya dan wujud rasa tidak bersyukur di hati mereka, na’uzubillah.

Firman Allah yang bermaksud, “Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dia dimuliakan-Nya dan diberi-Nya kesenangan, maka dia akan berkata: “Tuhanku telah memuliakanku”. Adapun bila Tuhannya mengujinya lalu membatasi rezekinya maka dia berkata: “Tuhanku menghinakanku”. Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya kamu tidak memuliakan anak yatim. dan kamu tidak saling mengajak memberi makan orang miskin, dan kamu memakan harta pusaka dengan cara mencampur baurkan (yang halal dan yang bathil), dan kamu mencintai harta benda dengan kecintaan yang berlebihan.” (Surah Al Fajr : Ayat 15-20)

Sama-samalah kita menganggap bahawa ujian dan cubaan dari Allah adalah bekal tambahan bagi kita sebagai persediaan untuk menuju ke negeri abadi nanti. Dan dengan ujian dapat mengajar kita sifat ingin sentiasa bertaubat dan kembali pada Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Jika kita sentiasa bertaubat maka akan terzahir lah sifat Allah Al Ghaffur (Yang Maha Pengampun). Jika kita tidak istighfar dan bertaubat maka tiada apa dan sebab untuk diampunkan dosa-dosa kita yang bertimbun banyaknya itu. Sabda nabi yang bermaksud, “Setiap anak Adam itu bersalah, dan sebaik-baik orang yang bersalah adalah orang-orang yang bertaubat”.

[source: unikversiti.blogspot.com]

No comments: