Wednesday, June 08, 2011

Tips Menjaga Kesihatan Tulang Belakang

Salah satu bahagian tubuh yang seringkali diabaikan kesihatannya adalah tulang puggung. Padahal, di bahagian inilah terdapat segala pusat saraf yang menghubungkan bahagian-bahagian tubuh dengan otak. Sedarkah anda bahawa setiap aktiviti atau pergerakan beleh menyakiti tulang belakang kita? Berikut adalah tips untuk menjaga kesihatan tulang belakang.

1. Duduk: Gunakan kerusi yang dapat menyokong belakang anda supaya sentiasa dalam posisi tegak. Elakkan posisi menyandar atau membongkok. Laraskan supaya paras meja bersesuaian dengan ketinggian kerusi anda untuk tujuan menulis. Anda boleh guna meja yang boleh diubahsuai ketinggiannya atau pun meja yang condong ke arah anda. Bila bangun dari kerusi jangan membongkok, tapi tetapkan bangun dengan menegakkan belakang anda.

2. Memandu: Ubahsuai posisi kerusi kereta anda supaya dapat memberi keselesaan semasa memandu. Pastikan kerusi anda tegak untuk menyokong belakang anda. Pastikan kerusi anda cukup jauh untuk meluruskan kaki anda. Elakkan memandu dalam masa yang terlalu lama.

3. Berjalan. Tegakkan belakang semasa berjalan. Sentiasa meletakkan bahu anda pada posisi belakang. Bawa posisi dada anda ke hadapan dan perut ke dalam. Elakkan berjalan secara membongkok. Elakkan pertukaran posisi atau arah secara tiba-tiba.

4. Mengangkat objek berat. Elakkan menggunakan tulang belakang untuk mengangkat berat. Pecahkan atau agihkan bebanan kepada bahagian yang lebih kecil. Sentiasa tegakkan belakang semasa mengangkat sambil membengkokkan sendi lutut dan paha, bukannya tulang belakang anda.

5. Ketinggian pada tempat kerja. Ubahsuai ketinggian meja atau tinggikan kerusi untuk mengelakkan tulang belakang dari membongkok. Sentiasa tegakkan belakang semasa apa saja kerja anda lakukan. Gunakan sendi lutut untuk turun mencapai barang di lantai.

6. Batuk dan bersin. Keraskan perut anda semasa batuk dan bersin. Tahan perut anda semasa batuk dan bersin dengan kedua tangan anda supaya pergerakan otot perut dapat dikawal.

7. Tidur. Berbaring pada tilam yang rata dan tidak melendut ke bawah. Anda perlu mengekalkan lengkungan tulang lumbar semasa tidur terlentang. Anda boleh menggunakan bantal kecil untuk melapik belakang anda. Tidur meniarap tidak digalakkan kerana posisi ini akan meningkatkan tekanan kepada sendi faset.

8. Menyarung seluar. Jika anda ingin memakai seluar, jangan mencuba ketika berdiri kerana ini menyebabkan anda terpaksa membongkok. Sebaliknya pakai seluar anda sambil duduk di kerusi.

9. Pergerakan langsung. Elakkan pergerakan yang memberi impak langsung kepada tulang belakang

  • Sukan yang lasak seperti melompat, joging, ragbi atau berbasikal mendaki bukit.
  • Menukar arah posisi secara tiba-tiba.
  • Batuk atau bersin yang kuat.
  • Mengangkat atau mendukung benda berat.
  • Memungut sesuatu di lantai dengan tiba-tiba.
  • Elakkan obesiti.
  • Sembelit.

Cuba kekalkan pengambilan gula, garam, lemak dan minyak pada tahap minimum. Pengambilan garam dan kafein yang berlebihan meningkatkan kehilangan kalsium dalam air kencing, dan akan digantikan dengan pengambilan kalsium dari ‘tabung simpanan badan’ – tulang anda sendiri!

[source: wanitasihat.com]

No comments: