Wednesday, June 08, 2011

Ubat Membersihkan Dosa

Kenangkan dosa hari ini, dosa semalam dan hari-hari yang telah berlalu kita lakukan. Alangkah banyaknya, sehingga tidak terhitung. Namun demikian Allah al-Rahman tidak pernah menarik balik nikmat penglihatan, pendengaran dan percakapan yang telah melakukan dosa. Malah Allah al-Rahim sentiasa menutup keaiban dan kekurangan diri kita daripada diketahui oleh orang lain.


Setiap insan tidak dapat lari daripada melakukan dosa dalam menjalani kehidupan seharian. Amat banyak pendurhakaan kepada Allah yang telah kita lakukan sejak baligh hingga ke saat ini. Inilah kelemahan insan yang tidak dapat dinafikan.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Manusia itu diciptakan dalam keadaan lemah.” (Surah al-Nisa’:ayat 28)

Agama kita memperuntukkan satu amal soleh yang boleh menghapuskan segala dosa yang dilakukan iaitu taubat sebagai mengimbangi kelemahan manusia ini. Allah SWT yang bersifat dengan sifat al-Tawwab ( Maha Penerima Taubat) dan al-Ghafur ( Maha Pengampun) tidak akan membiarkan kelemahan hambanya ini dengan begitu sahaja. Dalam al-Quran bayak dijelaskan keutamaan, dorongan dan perintah agar kita sentiasa bertaubat.

Kisah Ubat Yang Mampu Membersihkan Dosa dan Menyembuhkan Penyakit Hati


Hassan al-Basri r.a. berkata:

“Ketika saya berkeliling di jalan-jalan kota Bashrah dan di pasarnya dengan seorang pemuda ahli ibadah, tiba-tiba saya melihat seorang tabib yang sedang duduk di atas kerusi.”

Dia dikelilingi oleh laki-laki, perempuan dan anak-anak.

Di tangan mereka masing-masing terdapat gelas yang berisi air. Mereka meminta petua dan ubat untuk penyakitnya.

Kemudian, pemuda yang bersamaku maju ke depan tabib, lalu dia berkata:

“Wahai tabib, apakah kamu punya ubat yang mampu membersihkan dosa dan menyembuhkan penyakit hati? “

Kemudian, si tabib itu menjelaskan:

“Ambillah sepuluh macam ramuan:

  1. Ambillah akar pohon fakir bersama akar-akar pohon tawaddhu’ (keredhaan hati),
  2. Campurkanlah padanya tumbuhan taubat,
  3. Taruhlah ke dalam bekas keredhaan,
  4. Tumbuklah dengan penumbuk qana’ah,
  5. Masukkan dalam kuali taqwa,
  6. Lalu tuangkanlah padanya air malu,
  7. Didihkanlah dengan api mahabbah,
  8. Tuangkanlah ke dalam gelas syukur,
  9. Kemudian kipaslah dengan kipas harapan,
  10. Lalu minum dengan sudu pujian.

Semua itu akan menyucikan dosa-dosa yang telah dilakukan. Jangan berputus asa dengan rahmat dan keampunan sekiranya selepas itu kembali melakukan dosa. Jangan terpedaya dengan tipu muslihat syaitan agar kita perputus asa dengan keampunan Allah SWT . Perbaharuilah taubat pada setiap waktu. Pohonlah pimpinan dan bimbingan Allah SWT agar sentiasa istiqamah dalam melakukan taubat kepadaNya. InsyaAllah.

Sesungguhnya jika kamu mengerjakan hal itu, maka akan menjadi ubat bagimu dari semua penyakit dan bencana di dunia dan di akhirat.” – Dipetik daripada Kitab Nashaihul ‘Ibad, Imam Nawawi.

[source: wanitasihat.com]

No comments: