Jangan memilih siapa dia. Perlukah dimaafkan atau tidak. Kita berukhuwah tanpa mengenal rupa bukan? Janganlah kerana dia bukan sahabat karibmu, ada hak dalam berukhuwah yang tak tertunai. Ada juga yang akrab bukan main, tapi oleh kerana satu kesilapan yang dia lakukan, kita menjauhkan diri.
Cermin diri. Muhasabah. Sempurnakah kita? Tidak. Begitu juga sahabatmu itu. Daripada mengenang kesilapannya yang cuma satu atau dua, apa kata kita hargai kebaikan dia yang lebih dari itu? Barulah terasa kemanisannya. InsyaAllah. Ya, memberi dan memohon maaf itu salah satu hak dalam bersaudara. Macam mana nak rasa kemanisan iman kalau urusan semudah itu pun tak selesai? Excuse me. Semudah itu katamu? Memang semudah itu kalau yang bertakhta di hati itu iman. Kalau ego yang menguasai, memanglah payah. Sekali lagi, ketuklah pintu hati dan tanya padanya siapa pemilik takhta tertingginya. Itu belum lagi sampai pada soalan yang lebih mencabar. Di mana DIA di hatimu? Bukankah memaafkan itu bermakna kita berlapang dada dengan apa yang terjadi dalam sesebuah ukhuwah. Benarlah, berlapang dada itu yang paling asas sebenarnya dalam tingkatan ukhuwah. Kalau yang asas pun rapuh, bagaimana binaan ukhuwah tersebut mampu kukuh?
Mengalah Bukan Bererti Kalah
Tapi benar. Andai dia tidak mahu memaafkan, kamulah yang perlu mengambil langkah pertama. Ungkapkan kata keramat itu pada dia walaupun hatimu yang terluka. Leburkan egomu sendiri sebelum meleburkan ego yang lain! InsyaAllah sedikit sebanyak luka itu akan sembuh perlahan-lahan.
What you give, you get back. Itulah konsepnya. Moga-moga dengan sikapmu yang berhati mulia itu bisa melembutkan hatinya untuk meminta maaf kembali. Siapa tahu? Api tak mungkin dipadamkan dengan api bukan? Maka jadilah air.
Maafkan Dia Kerana Tidak Meminta Maaf Padamu
Dia masih berkeras hati? Penantian itu satu penyiksaan bukan? Maka janganlah ditunggu. Kelak memakan diri kerana terlalu lama menunggu. Biarkan dia. Lepaskan dan bebaskan perasaan resah yang membelenggu jiwamu. Biarkan ia terbang. Jangan ditunggu kepulangannya. Serahkan bulat-bulat pada DIA!
Maafkan dirimu. Dan maafkan dia kerana tidak melakukan apa yang kamu hajatkan. Itulah maaf yang sebenar-benarnya. Manusia kan makhluk Allah yang sangat kompleks? Kita bukan Tuhan yang mampu membolak-balikkan hati mereka. Bahkan hati sendiri pun belum tentu! Sibukkan diri dengan perkara lain. Jangan terlalu memberatkan fikiran dengan sesuatu yang tidak pasti. Utamakan yang lebih utama. Allah kurniakan pada manusia kemampuan dan pengetahuan yang sangat-sangat terbatas. Kamu tahu kenapa? Hikmahnya apa? Renung-renungkan. Fikir-fikirkan.
Maaf Itu Membahagiakan
Kalau kamu benar-benar memaafkan, nescaya berbahagialah kamu. Kelak bila ungkapan yang sama datang daripada dia, bahagia itu tiada taranya! Berkali-kali ganda! Dan saat itu, katakan terima kasih padanya, kerana menjadikan kamu orang yang paling bahagia pada waktu itu. Alhamdulillah.
Sabda baginda Nabi
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: Sesiapa yang ada sebarang kesalahan dengan saudaranya maka hendaklah diselesaikan sekarang, kerana sesungguhnya di sana (di akhirat) tiada lagi wang ringgit untuk dibuat bayaran, (yang ada hanyalah) diambil hasanah (kebaikan) yang ada padanya, kalau dia tidak mempunyai kebaikan, diambil keburukan orang itu lalu diletakkan ke atasnya.
Ambil masa beberapa minit dan muhasabah. Bermula daripada ibu, ayah, ahli keluarga, rakan-rakan, guru-guru, adik-adik, kakak-kakak, abang-abang, dan sesiapa sahaja yang pernah hadir dalam hidup kita walau sekejap cuma. Yang di depan mahupun di belakang tempat duduk semasa sekolah dahulu. Yang dekat mahupun jauh terpisah beribu batu. Yang sama-sama berjuang dengan penat lelah dan jerih payah mahupun yang pernah mencaci dan menghina perjuangan itu. Mereka tetap manusia seperti kita. Jangan memilih. Ungkapkan kata keramat itu pada mereka seikhlas hatimu. Walaupun pada mereka yang telah selalu diucapkan. Apatah lagi pada mereka yang pernah kamu lukakan hatinya sehingga menyebabkan ukhuwah itu retak. Juga pada mereka yang telah banyak mencurahkan kebaikan padamu. Kerana ungkapan maaf dan terima kasih yang lahir dari hati itu akan membahagiakan saudaramu.
Sumber -Artikel iluvislam.com
No comments:
Post a Comment